KEMELUT membabitkan pemain Sabah FC, Saddil Ramdani yang dilaporkan tidak dilepaskan oleh pihak pengurusan Sang Badak untuk menyertai pasukan kebangsaan Indonesia ke Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, memasuki episod baharu.
Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) dikatakan mahu mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memujuk Sabah FC melepaskan Saddil.
Sabah FC sebelum ini enggan melepaskan Saddil atas alasan temasya Sukan SEA tidak termasuk dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Nama Saddil disenaraikan oleh ketua jurulatih kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong bagi menyertai kem latihan pusat menjelang saingan Sukan SEA.
Menurut Ketua Umum PSSI, Mochamad Iriawan, pihaknya akan berusaha berbincang dengan FAM demi membantu Saddil.
"Ada pemain Malaysia yang dibenarkan beraksi di Sukan SEA. Maka ada peluang untuk Saddil," katanya.
Saddil tersenarai dalam kem latihan pusat pasukan Indonesia menjelang Sukan SEA. — Facebook
Ketika diminta mengulas tentang perkara itu, Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar berkata, FAM masih belum dapat memberi sebarang komen berhubung perkara itu.
"Saya ketika ini berada di luar negara dan saya akan minta pembantu saya untuk meneliti perkara tersebut," ujarnya kepada Majoriti.
Saddil merupakan antara tonggak utama Sabah FC di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee dalam saingan Liga Super musim ini.
Pemain sayap berusia 23 tahun itu beraksi dalam tiga perlawanan Liga Super setakat ini dan menjaringkan satu gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram