Gamel akui kelemahan Sri Pahang, masih ada ruang dan peluang


  • Podium
  • Ahad, 10 Apr 2022

Gamel percaya masih ada ruang untuk diperbaiki Sri Pahang menjelang pertemuan berdepan Melaka United, Sabtu depan. — Sri Pahang FC

PENGENDALI Sri Pahang FC, Christophe Gamel mengakui pemainnya masih berdepan masalah aksi kurang konsisten dan tiada penyudah yang baik di hadapan pintu gol selepas terikat 1-1 menentang PJ City FC pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada malam Sabtu.

Gamel berkata, menyukarkan lagi situasi mereka untuk meraih tiga mata penuh apabila keputusan pengadilan tidak berpihak kepada Sri Pahang apabila gol penyamaan PJ City yang pada mulanya disahkan offside, kembali diambil kira oleh pengadil.

"Pemain sudah mempamerkan aksi yang baik pada malam ini (Sabtu) tetapi saya melihat masih ada ruang untuk memperbaiki beberapa aspek dalam pasukan seperti tahap konsisten dan penyudah yang tajam.

"Kita mempunyai masa untuk proses pemulihan dan membetulkan kesilapan sebelum bertemu Melaka United pada Sabtu depan. Saya yakin tahap permainan Sri Pahang kini semakin baik dan serasi untuk mengharungi Liga Super musim ini," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan itu, gol Sri Pahang dijaringkan Emanuel Hidalgo pada minit ke-38 manakala jaringan penyamaan PJ City disempurnakan R. Barathkumar pada minit ke-85.

Gamel dalam pada itu, memuji aksi dua pemain import, Manuel Hidalgo dan Mamadou Samassa kerana membantu pasukan untuk tampil lebih meyakinkan pada aksi bertemu PJ City itu.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih PJ City P. Somasundran sudah menjangkakan tentangan sengit bakal dihadapi pasukannya ketika bertemu Sri Pahang.

"Apa pun kita sudah mencapai matlamat dengan membawa pulang satu mata, dari segi permainan kelihatan kita tidak begitu tersusun dan agak lambat untuk bertenang pada separuh masa pertama.

"Namun, pada babak kedua kita berjaya mengubah kepada aksi lebih meyakinkan, penuh semangat dan berdisiplin untuk menang," katanya bahawa perubahan drastik itu dicapai susulan pasukan mengubah strategi dan taktikal selain menggantikan beberapa pemain. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram