InsyaALLAH satu hari nanti — Jordan Mintah


  • Podium
  • Isnin, 04 Apr 2022

JORDAN berkongsi pandangannya tentang Islam bersama guru dan pelajar tahfiz. — Facebook

KATA-KATA pemain penyerang Terengganu FC, Jordan Mintah mengenai pandangannya tentang agama Islam menyentuh hati ramai pengguna di Facebook terutama apabila dia mengatakan bakal menjadi saudara baharu tidak lama lagi.

Menurutnya, dia mengakui kawan-kawan di tempat semasa dia membesar semuanya beragama Islam, malahan dia sendiri menyukai agama suci ini.

"Saya bukan Islam, tetapi semua kawan-kawan ditempat saya membesar semua beragama Islam, dan saya suka Islam.

"InsyaALLAH satu hari nanti saya akan menganut agama Islam," katanya dalam satu perkongsian video Mintah bersama guru dan pelajar-pelajar tahfiz di grup Facebook, Terengganu FC.

Dalam video yang dikongsi oleh Are Peace Syda itu juga, Mintah turut menasihatkan pelajar-pelajar tahfiz supaya menyemat kalimah Allah dalam hati mereka kerana hanya Dia Maha Berkuasa.

Mintah mengakui dia bukan sesiapa tanpa ALLAH yang sentiasa bersamanya.

"Selagi kita ada ALLAH bersama-sama kita, dan mengikut ajaranNya, tentu akan mendapat kesenangan," kataya.

Rata-rata pengguna kagum dengan kata-kata Mintah itu dan ramai antara mereka mendoakan agar pemain asal Ghana itu diberi hidayah untuk segera menganut agama Islam.

Mintah menyertai Terengganu II pada 2020 sebelum menyertai Terengganu FC pada 2021 dan memutuskan untuk kekal bersama paskan itu sehingga kini.

Pemain penyerang itu mempamerkan prestasi cemerlang menerusi jaringan yang dilakukan untuk membantu pasukan terutamanya dalam saingan TM Piala Malaysia.

Dia juga membawa tonggak yang membawa pasukan mara ke separuh akhir selain turut dinobatkan selaku Penjaring Terbanyak Liga Premier 2021.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram