Peminat tegar KDA FC kecewa, harap kelab jaga kualiti


KEADAAN set kotak Sang Kenari yang diperoleh oleh pengguna Facebook itu.

PASUKAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada tahun ini membawakan merchandise terbaharu iaitu Set Kotak Sang Kenari untuk penyokong setia Hijau Kuning yang mengandungi lanyard, set kotak khas dan jersi KDA FC.

Rata-rata peminat KDA FC berduyun-duyun untuk mendapatkan set eksklusif tersebut sebagai tanda sokongan, kenangan bersama KDA FC ataupun sebagai koleksi barangan kesayangan.

Seperti peminat lain, pengguna Facebook Azmir Mustafar turut serta dalam membeli set kotak tersebut namun kekecewaan yang dirasainya apabila barangan yang ditunggu-tunggu itu sampai dalam keadaan yang kurang elok.

tangkap layar

TANGKAP layar luahan pengguna Facebook Azmir Mustafa.

"Pembelian yang semangat tapi sampai dengan pakej pedih ulu hati bila nampak plastik poslaju ni.

"Untuk sesetengah pembeli, benda ini macam collector item lah. Barang elok kita simpan elok.

"Kemik sana sini, koyak di hujung-hujung. Rasa sedih bila tengok," luah lelaki itu.

Malah, lelaki tersebut juga menarik nafas lega apabila dia hanya membeli satu Set Kotak Sang Kenari walaupun pada awalnya dirinya berniat untuk memperolehi sebanyak tiga set.

Dalam pada itu, Azmir juga mencadangkan supaya pasukan cenderahati KDA FC itu boleh menggunakan kadbod bagi menjaga kualiti jersi yang dihantar kepada peminat.

"Apa pun, usaha yang baik dari pasukan merchandise Kedah Darul Aman FC musim ini menghasilkan Sang Kenari Box. Masih berharap macam baju putih musim lalu punya kualiti. Tapi nak buat macam mana.

"Memang kena lipatan yang memang baik punya. Mungkin boleh letak kadbod kotak tu bagi dia terletak elok untuk elak kena lipat," tambahnya.

Untuk rekod, set kotak Sang Kenari dijual dengan harga RM110.000 hingga RM150.00. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram