TFC desak MFL beri jawapan segera


  • Podium
  • Isnin, 04 Apr 2022

PASUKAN TFC belum beraksi dalam saingan Liga Super musim ini. — Facebook/TFC

TERENGGANU FC (TFC) masih menanti jawapan daripada Malaysian Football League (MFL) berhubung bantahan dikemukakan oleh pasukan itu berikutan jadual Liga Super yang dirasakan tidak adil buat mereka.

Pengurus Terengganu, Fadhil Wahab akui masih menaruh harapan tinggi agar bantahan yang dibuat itu mendapat perhatian sewajarnya meskipun sudah hampir dua bulan menghantar surat.

"Bantahan dan rayuan sudah kami kemukakan kepada pihak MFL untuk pertimbangan yang sewajarnya berhubung jadual perlawanan Liga Super membabitkan pasukan TFC yang dilihat berat sebelah.

"Saya juga sudah menghubungi pihak MFL untuk mengetahui status terkini bantahan itu, namun sehingga hari ini masih belum mendapat jawapan dan maklum balas.

"Kami masih menunggu perkembangan itu dengan harapan rayuan dan permintaan diterima, kerana kami sudah memberikan alasan kukuh serta penerangan yang jelas secara bertulis kepada MFL berhubung perkara itu," ujarnya.

Terdahulu, TFC bertindak membantah keputusan MFL yang memutuskan Sang Penyu beraksi tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan sepanjang Ramadan sebelum kembali beraksi di tempat sendiri pada 22 April.

TFC masih belum beraksi di Liga Super berikutan kes Covid-19 yang berlaku kepada lawan mereka.

Pasukan itu dijadualkan menentang PJ City pada 6 April, sebelum ke Johor Darul Takzim (JDT) pada 10 April dan selepas itu bertemu Sarawak United (17 April).

Perlawanan pertama di Stadium Sultan Mizan, Kuala Terengganu, Terengganu hanya berlangsung pada 22 April bertemu Selangor.

Berikutan jadual itu, TFC menghantar surat bantahan pada 8 Februari, memohon untuk mengubah kembali jadual perlawanan tersebut.

Sementara itu, Fadhil turut berkongsi tentang sesi latihan pemain yang dijalankan sedikit berbeza berbanding sebelum ini, sepanjang Ramadan.

"Bagi pemain yang beragama Islam, barisan kejurulatihan akan mengatur masa sesuai untuk latihan mereka manakala pemain bukan beragama Islam pula, mereka masih berlatih seperti biasa bagi memastikan tahap kecergasan dapat dikekalkan menjelang perlawanan pertama pasukan pada Rabu ini," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

TFC, MFL, FAM, Fadhil Wahab, Ramadan, Liga Super, Covid-19, JDT