PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp benar-benar kecewa kerana Mohamed Salah tidak dapat membawa Mesir ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar pada akhir tahun ini.
Mesir yang diterajui Salah tewas kepada Senegal dalam perlawanan akhir playoff itu, dengan rakan sepasukannya di Liverpool, Sadio Mane pula menjaringkan penalti untuk memastikan kejayaan Senegal mara ke Piala Dunia.
Sebelum ini, Mane juga telah mengetuai Senegal mendakap trofi Piala Negara-Negara Afrika 2022, juga mengecewakan Mesir pada awal tahun ini.
Perlawanan playoff Piala Dunia 2022 antara Mesir dan Senegal diselubungi kontroversi kerana Salah dilihat dipanah sinar laser di matanya semasa dia mengambil penalti dalam penentuan sepakan itu sebelum tidak dapat menjaringkan gol.
“Sangat gembira untuk Sadio (Mane) tetapi saya sangat kecewa untuk Mo (Salah).
“Saya tidak fikir situasi yang berlaku ketika penalti dan laser itu sesuatu yang sewajarnya berlaku. Mereka berdua adalah pemain profesional terbaik dan akan menanganinya dengan cara yang betul.
“Ia berbeza apabila dua penyerang terbaik sepasukan terpaksa menentang satu sama lain tetapi mereka adalah pemain terbaik. Sudah tentu beremosi tetapi mereka akan menanganinya sebaik mungkin.
“Senegal adalah pasukan terbaik di Afrika, cuma Mesir juga tidak kurang hebat apabila menyaingi mereka sebaik mungkin di pentas final yang besar sebanyak dua kali.
Saya tidak pasti kita boleh melihat aksi sama seperti ini sekali lagi, sejujurnya ia memang sesuatu yang malang buat kedua-dua pemain apabila terpaksa berdepan antara satu sama lain," kata Klopp. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram