Pihak berminat beli Perak FC ada datang jumpa MFL — Stuart Ramalingam


  • Podium
  • Sabtu, 02 Apr 2022

MENURUT Stuart, MFL menyerahkan perbincangan sepenuhnya mengenai penjualan Perak FC kepada IMC dan pihak berkenaan. — Bernama

PIHAK yang berhasrat membeli Perak FC dilaporkan sudah bertemu dengan pihak Malaysian Football League (MFL) bagi menyatakan hasrat untuk membeli kelab itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam mengesahkan perkara itu dan berkata lawatan itu bertujuan untuk memperkenalkan diri mereka.

“Ya, mereka dah jumpa MFL untuk memperkenalkan diri mereka. Mereka menyatakan minat untuk membeli Perak FC dan kami telah menasihati mereka mengenai langkah dan perkara yang harus mereka beri perhatian.

"Kami juga memberitahu bahawa mereka harus memberi kerjasama kepada Perak FC/IMC (Impact Media and Communication Sdn Bhd) pada peringkat awal ini untuk memastikan proses jual beli dilakukan secara sah dan telus," katanya kepada Majoriti.

Katanya, MFL bukanlah pihak yang menjual atau membeli, jadi rundingan perlu dilakukan secara baik antara kedua-dua pihak.

Menurut Stuart, pertemuan itu turut dihadiri oleh beberapa orang wakil daripada Perak FC dan buat masa ini, MFL menyerahkan perbincangan kepada kedua-dua pihak.

"Kami telah memberikan semua jangkaan kami kepada mereka tetapi pada peringkat ini, proses tersebut adalah antara IMC dan pihak baharu untuk diselesaikan sebelum sebarang penglibatan daripada MFL," ujarnya.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perkara yang dibincangkan antara MFL dan pihak tersebut.

Majoriti sebelum ini melaporkan, CEO Perak, Muhammad Yunus Zakariah dimaklumkan bahawa pihak berkenaan sudahpun pergi berjumpa dengan MFL, namun tidak pasti akan tujuan pertemuan itu.

"Saya pun tak tahu apa tujuan pihak pembeli pergi jumpa MFL, namun saya pasti pihak MFL juga ada meminta mereka untuk menyerahkan 'proof of funds' kepada kami," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram