DI sebalik kontroversi pemilik baharu yang melanda Perak FC, terdapat berita mengejutkan hadir pada saat-saat akhir apabila kelab itu dilaporkan terselamat sekali gus dapat meneruskan saingan Liga Premier pada musim ini.
Ini kerana dedah sumber kepada Majoriti, kelab itu berkemungkinan besar hanya akan berdepan musibah pemotongan mata jika masih gagal melunaskan tunggakan gaji pemain, bukannya ‘terkubur’ terus selepas 101 tahun ditubuhkan seperti yang disangkakan ramai peminat The Bos Gaurus.
Menurut sumber, Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd berkemungkinan besar bukan lagi pemilik Perak FC dalam masa terdekat berikutan kelab itu bakal bertukar tangan kepada pemilik baharu seperti desas-desus yang heboh diperkatakan ketika ini.
Pertukaran pemilikan kelab itu sekali gus akan menyaksikan Perak FC berpeluang menyertai saingan Liga Premier musim ini, namun berdepan pemotongan mata yang ditentukan oleh Malaysian Football League (MFL).
"Team tak boleh batal penyertaan, hanya boleh potong mata.
"Kertas kerja mengenainya sudah ada ada namun belum dimuktamadkan lagi," kata sumber tersebut.
CIAPAN Zulhelmi berhubung hukuman yang dikenakan ke atas Perak FC jika gagal melunaskan tunggakan gaji pemain. — Twitter
Majoriti terdahulu melaporkan IMC menafikan pihaknya menolak untuk berjumpa dengan individu yang berminat untuk membeli kelab itu seperti yang kecoh di media sosial ketika ini.
Pengarah, Perkongsian dan Jualan Penajaannya, Muhammad Yunus Zakariah dilaporkan berkata, sebaliknya pihaknya memerlukan proof of fund bagi membuktikan kekuatan kewangan pembeli.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC berkata, individu tersebut menyatakan hasratnya untuk membeli Perak FC melalui sebuah syarikat tempatan.
Pemilikan Perak FC menjadi tanda tanya sama ada pasukan itu akan diambil alih oleh pemilik baharu atau sebaliknya walaupun MFL memberikan masa sehingga 31 Mac untuk pasukan itu menjelaskan tunggakan gaji pemain dan kakitangan pasukan itu.
Sementara itu, pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam yang turut mengesahkan laporan itu berkata, hukuman ke atas Perak FC akan bermula Jumaat menerusi pemotongan tiga mata jika gagal menyelesaikan tunggakan gaji membabitkan pemain musim 2021 pada tarikh akhir yang dijanjikan pada 31 Mac 2022.
Perkongsian menerusi satu ciapan di Twitter pada petang Khamis itu sekali gus menjawab persoalan berhubung pemilikan baharu Perak FC yang turut menyaksikan skuad The Bos Gaurus terselamat dan masih boleh kekal beraksi dalam Liga Premier.
Difahamkan, satu pengumuman rasmi turut dibuat pengurusan kelab Perak FC berhubung perkara itu sebaik aksi Piala FA berdepan Kijang Rangers tamat pada malam tadi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram