Masa kian suntuk buat Perak FC, sejarah 101 tahun bakal terkubur?


  • Podium
  • Khamis, 31 Mac 2022

PERAK FC mempunyai tempoh sehingga 31 Mac untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji. — Facebook Perak FC

MASA depan Perak FC dilihat kian samar apabila tiada bayangan jelas yang menunjukkan berlakunya peralihan pemilikan kelab yang mempunyai sejarah selama 101 tahun itu.

Dengan berbaki kurang 24 jam, Perak FC bakal terkubur tanpa batu nisan jika tiada pembeli baharu mengambil alih kelab itu untuk menyelesaikan isu gaji yang berlarutan sejak sekian lama.

Amaran yang sama disuarakan oleh kumpulan penyokong Perak FC menerusi laman Facebook Silver Retno yang menyatakan Perak akan lenyap pada April ini.

Mereka berkata, hal ini kerana pasukan yang mula ditubuhkan pada 1921 berkenaan dilihat seakan membiarkan sahaja isu tunggakan gaji dan hutang menjadi lebih rumit serta berpanjangan.

Jelasnya, jika isu tersebut tidak diselesaikan segera, Perak FC bukan sahaja akan disekat dari menyertai Liga Malaysia, malah turut akan digantung dan tidak dibenarkan untuk mengguna nama sama selepas penggantungan selesai.

"Esok (Khamis) mungkin perlawanan bolas sepak terakhir untuk pasukan yang diberi gelaran 'Seladang' dan 'The Bos Gaurus' ini.

"Kerana tempoh yang diberikan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) sangat menyukarkan untuk pemilik sedia ada bagi menyelamatkan pasukan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Tambahnya, tular di media sosial ketika ini adalah kewujudan pemilik baharu Perak FC.

Difahamkan, kesahihan mengenainya adalah benar namun kesulitan yang dicipta sendiri oleh pemilik sedia ada sangat mengecewakan buat semua pihak di sebelah bakal pemilik baharu tersebut.

"Pemilik sedia ada dikhabarkan tidak mahu berbincang, hanya mendiamkan diri dan seolah-olah mahu melihat kebenaran amaran yang dinyatakan MFL, malah sangat yakin apa yang berlaku di pasukan Perlis FA tidak akan berlaku di Perak FC.

"Kesungguhan ditunjuk bakal pemilik baru yang menguruskan sebuah syarikat pengusahanya oleh anak tempatan itu sangat dihormati dan dinanti, ketika penyokong serta peminat setia benar-benar menagih bantuan di waktu bolasepak negeri ini di dalam keadaan sangat kritikal dan tenat.

Terdahulu, media melaporkan, para pemain, pegawai dan kakitangan The Bos Gaurus menerima bayaran setengah bulan gaji walaupun Perak FC pernah membuat kenyataan untuk melangsaikan tunggakan gaji untuk dua bulan terakhir selewat-lewatnya 7 Mac lalu.

Menjawab kemelut yang melanda pasukan itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, Perak FC mempunyai sehingga akhir bulan ini untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Katanya, pihak MFL akan mula mengambil tindakan dalam bentuk denda dan penalti terhadap Perak jika masalah tersebut tidak berjaya diselesaikan selepas tarikh 31 Mac 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram