“KAMI mengharapkan sinar di hujung terowong...”
Itu luahan hati Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah berkenaan situasi semasa kelab Liga Premier tersebut yang masih dibelenggu isu tunggakan gaji yang difahamkan telah berlarutan selama empat bulan.
Menurut Yusri, isu tunggakan gaji diharap dapat diselesaikan segera kerana berlarutan begitu lama memberikan kesan kepada skuad The Bos Gaurus itu.
Malah katanya, dia juga sudah berhubung terus dengan pihak pengerusi kelab bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara berkenaan.
“Sebenarnya, perjuangan kami masih panjang, tetapi kami memang mengharapkan sinar di hujung terowong... dan terowong itu tidak jadi Terowong Menora lah..tiada penghujung risau juga.
“Jadi kita harap ada sesuatu... jangan menanti lagi, dan tak sanggup lagi berhadapan bulan Ramadan dengan keadaan serba serbi kepincangan dan pemain tanpa makanan yang saya rasa jadi satu perkara paling sedih dalam hidup.
“Walaupun kami diberikan bayaran selepas mendapat sumbangan daripada pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, terima kasih banyak-banyak kepada Tunku kerana membantu pasukan.
“Walaupun kami menerima hanya separuh bayaran bagai Januari, namun begitu sehingga kini mereka tidak lagi memberikan apa-apa maklumat kepada kami cuma text sahaja, kami perlukan jawapan kerana pemain dan pegawai ingin meneruskan kehidupan,” katanya selepas perlawanan pusingan pertama Piala FA di Stadium Perak pada Khamis.
Pada itu, Perak FC menewaskan kelab Liga M3, Kijang Rangers FC 1-0 hasil jaringan Muhammad Hakimi Mat Isa pada minit ke-101 bagi mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua.
Mengenai perlawanan itu Yusri berkata, para pemain telah bekerja keras di sepanjang perlawanan berkenaan.
Justeru katanya, para pemain yang beraksi pada perlawanan tersebut harus diberikan pujian berdasarkan komitmen dipamerkan sepanjang perlawanan.
“Alhamdulillah, susah nak gambarkan keadaan semasa mereka (pemain) bermain dengan hati dan jiwa mereka untuk mencuba walaupun kita tidaklah inginkan perlawanan diheret ke masa tambahan.
“Apa yang dilakukan para pemain saya adalah merupakan sesuatu anugerah daripada ALLAH SWT dan bagi saya pemain berjuang betul-betul kerana pasukan negeri mereka iaitu Perak..oleh itu management yang tengok kita berjuang begini seharusnya tampil untuk membantu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah menegaskan pihaknya sedang berusaha untuk menyelesaikan isu tunggakan tersebut dengan mencari pelabur baharu, pembeli baharu serta penaja dan malah hingga ke peringkat kerajaan negeri bagi mendapatkan bantuan.
“Kita memang tak ada fund (dana) untuk made any payment to anyone (buat bayaran kepada sesiapa). Sebab itulah, kami kini berusaha untuk pergi ke semua angle...cari pelabur, pembeli, penaja malah hingga ke kerajaan negeri untuk dapatkan bantuan.
“Dalam masa sama, kami juga sehingga ke hari ini, masih belum menerima dokumen bukti dana (proof of fund) daripada pihak yang dikatakan berminat untuk membeli Perak FC,” katanya kepada Sukan Sinar. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram