Sekali lagi Rizal Ghazali dapat amaran


  • Podium
  • Jumaat, 01 Apr 2022

RIZAL diberikan amaran keras oleh FAM supaya tidak mengulangi perbuatannya menolak panggilan skuad kebangsaan pada masa depan. — Instagram/Rizal Ghazali

KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memberi amaran kepada pertahanannya, Rizal Ghazali selepas pemain itu terlepas dari hukuman akibat menolak panggilan skuad kebangsaan.

Katanya, beliau lega apabila Rizal tidak dikenakan hukuman berat tetapi tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemain yang enggan melaporkan diri bersama skuad kebangsaan.

"Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada FAM kerana memahami keadaan Rizal.

"Pada masa yang sama, saya telah menasihati dan memberikan amaran kepada setiap pemain Sabah, seandainya mereka dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan, mereka perlu melaporkan diri kecuali kecemasan.

"Mereka harus memaklumkan kepada pihak Sabah FC atau terus memaklumkannya kepada pihak FAM," katanya.

Jelas Kim Swee, beliau sudah bersedia untuk meletakkan pemain lain di posisi Rizal jika pemain itu dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Tambahnya, isu yang melibatkan Rizal itu harus pengajaran supaya tidak berulang lagi pada masa depan.

"Kita tahu Rizal merupakan pemain utama pasukan Sabah dan pada masa yang sama, kami telah bersiap sedia, di mana sebelum FAM membuat keputusan lagi, saya telah memastikan tempat Rizal boleh digantikan oleh sesiapa sekalipun.

"Saya harus menarik nafas lega apabila tiada tindakan dikenakan kepada Rizal tetapi seperti yang saya katakan tadi, kita tidak boleh mengulangi apa yang telah dilakukannya, terutama daripada segi komunikasi di antara pemain dan persatuan," ujarnya.

Terdahulu, Rizal yang diletakkan dalam Senarai Bersedia pada asalnya telah dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon bagi menggantikan pemain Johor Darul Takzim, Mohd Syahmi Safari yang meminta pengecualian untuk tidak melapor diri ke kem latihan pusat kali ini kerana menyambut kelahiran anak kembar tiganya.

Berikutan keengganan Rizal untuk melapor diri, Pan-gon telah memanggil seorang lagi pemain dari Senarai Bersedia iaitu Ahmad Khuzaimi Piee untuk menggantikan tempat Syahmi dan pemain pertahanan Negeri Sembilan FC itu hadir melapor diri pada 14 Mac 2022. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram