Mesin gol Kelantan tunggu masa curi tumpuan Pan-gon


  • Podium
  • Jumaat, 01 Apr 2022

NURSHAMIL cetak nama selaku penjaring gol sewaktu Kelantan FC menang menentang UiTM FC dalam saingan Liga Premier baru-baru ini. — Facebook/TRW Kelantan FC

PEMENANG anugerah Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier 2021, Nurshamil Abdul Ghani antara pemain disebut-sebut mampu menggalas peranan penyerang kebangsaan di bawah kendalian ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

Ketumpulan barisan serangan skuad kebangsaan jelas ditonjolkan ketika Harimau Malaya tewas kepada Singapura 1-2 baru-baru ini.

Susulan itu, segelintir peminat melihat Nurshamil antara calon pilihan yang sesuai mengisi posisi berkenaan selain pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad.

Pemain berusia 28 tahun itu yang beraksi bersama Kelantan FC, mungkin bukan nama besar dalam arena bola sepak tempatan, tambahan pula The Red Warriors masih bersaing di Liga Premier.

Nurshamil yang memulakan kariernya bersama PKNS pernah menempa nama bersama Melaka United dengan muncul selaku penjaring terbanyak Liga FAM dan membantu pasukan negeri kelahirannya itu naik ke Liga Premier dan seterusnya Liga Super.

Namun penghijrahannya ke Selangor, Selangor United dan Pulau Pinang merupakan 'mimpi buruk' buat dirinya kerana terpaksa bersaing tempat dengan pemain import yang lebih menjadi pilihan jurulatih.

Musim 2021, bekas ketua jurulatih Kelantan FC, Marco Ragini membawa Nurshamil ke pasukan tersebut dan pemain itu membalas kepercayaan dengan menjaringkan sembilan gol, sekali gus meraih anugerah Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier 2021.

Berdepan masalah kecederaan pada awal musim 2022, Nurshamil tidak menunggu lama membuktikan kredibilitinya.

Tampil buat kali pertama musim ini, Nurshamil yang memakai lilitan kapten ketika perlawanan menentang UiTM FC pada 25 Mac lalu, membuka akaun jaringannya pada minit ke-28.

Sudah tentu, gandingannya bersama Kervens Belfort, Nixon Guylherme dan Fadel Antar di barisan serangan menjadi taruhan Kelantan FC untuk mara ke Liga Super musim 2023.

Sekiranya Nurshamil sekali lagi membuktikan ketajamannya di depan gol musim ini, tidak mustahil namanya akan dipanggil mewakili skuad kebangsaan kelak.

Mungkin tampak mustahil buat masa ini, namun para peminat bola sepak tempatan masih mengharapkan sesuatu yang baik buat Nurshamil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram