Isu tunggakan gaji pemain, Kelantan FC balas dakwaan peminat


  • Podium
  • Khamis, 24 Mac 2022

KELANTAN FC nafi dakwaan tidak bayar gaji pemain selama tiga bulan. — Facebook TRW Kelantan FC

KELANTAN FC pada Khamis menafikan dakwaan pemain kelab itu tidak menerima pembayaran gaji selama tiga bulan seperti yang tular di media sosial.

Menurut Kelantan FC menerusi satu kenyataan dikeluarkan di Facebook pada Khamis, bayaran gaji pemain tidak pernah tertunggak di bawah pengurusan baharu.

"Susulan itu, satu Letter of Demand (LOD) oleh pihak peguam Kelantan FC sudah dihantar kepada pihak berkenaan bagi menangani isu fitnah dan demi menjaga imej kelab.

"InsyaALLAH kami di Kelantan FC sangat prihatin akan hal gaji dan kebajikan semua pemain serta pengurusan dalam pasukan," kata kenyataan tersebut.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook, AirCo Haiqel mendakwa Kelantan FC gagal melunaskan tunggakan gaji pemain selama tiga bulan.

"Tiga bulan dah bossku, player (pemain) sampai minta pinjam duit dengan orang lain," ujarnya menerusi komen di Facebook baru-baru ini.

Ujar kenyataan itu lagi, Kelantan FC tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang membangkitkan isu negatif menerusi penyebaran maklumat sehingga menjatuhkan imej kelab.

"Sebarang maklumat yang dikongsi perlulah tepat bagi mengelakkan penyebaran berita palsu yang menimbulkan fitnah antara penyokong terhadap pengurusan Kelantan FC," jelasnya.

Sebelum ini, bekas pemain Kelantan FC, Fauzi Roslan turut mendakwa pasukan itu masih belum melunaskan tunggakan gajinya sebanyak RM63,600.

Namun, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menafikan pihaknya mempunyai sebarang tunggakan terhadap pemain berkenaan dan meminta Fauzi merujuk kes itu kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram