Terima rasuah RM200 lepaskan pasangan khalwat, polis kena denda RM1,500


SEORANG anggota polis mengaku menerima suapan sebanyak RM200 kira-kira dua tahun lalu. — Sinar Harian

SEORANG anggota polis didenda RM1,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak pada Rabu atas pertuduhan pilihan menerima suapan RM200 daripada seorang lelaki, dua tahun lalu.

Lans Koperal Abdul Hadi Abu Bakar, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, M Bakri Abd Majid.

Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada dua anak itu menjalani hukuman sebulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, anggota yang bertugas di Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu menerima suatu benda berharga iaitu wang tunai RM200 daripada seorang lelaki berusia 26 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam lebih kurang 12.30 hingga 12.45 tengah hari di belakang bangunan sebuah restoran di Taman Fair Park dalam daerah Kinta pada 5 Januari 2020.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tertuduh tidak melakukan suatu perbuatan yang mempunyai hubungan kerja-kerja rasmi membawa lelaki terbabit bersama seorang wanita berusia 20 tahun ke balai polis atas kesalahan khalwat yang dilakukan pasangan itu pada 30 Disember 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili Peguam Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram