SEORANG penduduk di Taman Sri Rembau di Rembau, Negeri Sembilan meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati dengan Majlis Daerah Rembau (MDR) yang didakwa gagal mengambil tindakan segera untuk memperbaiki struktur tebing runtuh akibat kerja-kerja naik taraf longkang di rumah bapanya.
Lelaki itu, Mohd Fauzuly Hamdan Tahir yang menggunakan nama @aku_posmen di TikTok memuat naik video kejadian di aplikasi itu pada Selasa.
"Pada 18 Mac, kontraktor sedang membuat kerja pembaikan menaik taraf longkang, mesin beko (back-hoe) pengorek tanah itu telah menjalankan kerja mengorek tebing hingga memasuki kawasan rumah bapa saya.
"Tebing itu runtuh dan ditutup dengan kanvas sahaja walhal sepatutnya pada masa itu juga kontraktor berkenaan perlu memperbaiki struktur tebing tapi berlaku sebaliknya
"Mereka hanya tinggal macam tu sampai tiang elektrik pun 'tersenget' disauk beko itu," katanya dalam video berkenaan.
STRUKTUR tanah yang runtuh hanya ditutup dengan kanvas selama hampir dua minggu. — TikTok
Menurutnya, dia telah membuat laporan polis dan aduan kepada pihak berkuasa tempatan namun, masih tiada sebarang tindakan meskipun sudah memasuki minggu kedua.
"Bapa saya dah dua kali ke pejabat MDR masing-masing pada 21 Mac dan 28 Mac lalu. Mereka kononnya kata akan jalankan kerja pembaikan tapi masih tidak dibuat juga.
"Lebih mengecewakan, ketika bapa saya pergi ke pejabat MDR pada kali kedua, dia diberitahu bahawa aduan masih belum diterima kerana masih di bahagian front desk," katanya kepada Majoriti.
Rakaman video itu turut menunjukkan keadaan struktur tebing tersebut secara dekat hingga menampakkan railing pagar rumah bapanya dalam keadaan bengkok.
BAHAGIAN railing pagar rumah bapa Mohd Fauzuly bengkok selepas struktur tanah itu runtuh. — TikTok
Tambah Mohd Fauzuly, keadaan bertambah buruk selepas hampir dua minggu struktur itu tidak diperbaiki selepas hujan lebat pada Selasa mengakibatkan runtuhan tebing bertambah besar.
"Pada Selasa (29 Mac 2022), hujan lebat dan tebing itu runtuh lagi. Runtuh sampai tak ingat dunia...habis pokok tumbang. Dah jadi macam ini pun masih belum ada tindakan.
"Tiada orang dari mana-mana pihak bertanggungjawab datang sama ada dari pejabat daerah mahupun pihak kontraktor.
"Yang ada ketua penduduk, pengerusi penduduk sahaja. Dah adu kepada YB pun dia baru nak datang pada Rabu (30 Mac 2022).
"Lambat betul semua tindakan. Nak kena tunggu tular dulu baru boleh buat. Tak fahamlah Malaysia ni," luahnya kesal.
Rakaman video yang dimuat naik pelakon utama drama Aku Posmen itu mendapat sejumlah 246,600 tontonan di aplikasi TikTok sejak dimuat naik pada malam Selasa.
Sementara itu, Majoriti berusaha mendapatkan penjelasan MDR berhubung kejadian terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram