MPP UiTM desak pensyarah hina B40 dikenakan tindakan


  • Massa
  • Rabu, 30 Mac 2022

MPP UiTM mahu siasatan dilakukan oleh pihak universiti terhadap pensyarah tersebut. — Gambar hiasan/Facebook

MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganggap tindakan seorang pensyarah yang tular di media sosial kerana memperlekeh golongan B40 sebagai susatu yang tidak beretika.

Yang di-Pertua MPP UiTM, Rasydan Mohd Hassan berkata, tindakan pensyarah terbabit merupakan satu tindakan luar norma dan tidak beretika malah sejarah UiTM juga dibina atas dasar membantu lebih ramai mahasiswa Melayu dan Bumiputera.

"Kenyataan menghina dan memperlekeh golongan B40 adalah tidak wajar dibuat oleh mana-mana pihak.

"Saya mewakili seluruh keluarga MPP UiTM mendesak pengurusan tertinggi universiti membuat siasatan dan mengambil tindakan yang wajar dan selayaknya kerana pensyarah tersebut telah merosakkan imej universiti keramat ini.

"Pensyarah terbabit perlulah memahami keadaan negara yang sedang berhadapan dengan situasi pandemik yang menyebabkan ramai rakyat berhadapan dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Rasydan berkata, manifesto sering disuarakan pihak pengurusan UiTM bahawa mahasiswa adalah tonggak universiti perlu dizahirkan dengan mengambil tindakan tegas kepada pensyarah terbabit dan mana-mana individu yang membuat tindakan sama selepas ini.

Terdahulu, tular video klip berdurasi 1 minit 45 saat yang memaparkan seorang pensyarah wanita memarahi seorang pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba.

Wanita itu juga dilihat memperlekeh golongan B40 dengan beranggapan bahawa golongan itu lebih mementingkan perkara lain daripada pelajaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram