SETIAP individu pasti akan merasakan detik paling rendah dalam kehidupan dan begitu juga dengan penyanyi, Yana yang sebelum ini dikenali dengan nama Shalma Eliana.
Enggan mengulas mengenai detik tersebut, menurut Yana, cukuplah jika dia simpulkan ketika itu dia sangat tertekan dengan kehidupan.
"Tetapi saya berjaya bangkit semula dengan bantuan rakan-rakan di sekeliling yang membantu saya ketika berada di fasa tersebut.
"Semua yang berlaku membuat saya sedar betapa pentingnya kehadiran serta sokongan rakan-rakan ketika itu dalam membantu saya untuk bangkit semula," katanya.
Disebabkan pengalaman itu juga, menurut Yana yang membuatkannya tampil dengan single baharu berbahasa Inggeris yang berjudul I Need U.
Jelasnya, lagu itu digubah dan ditulis sendiri di dalam bilik tidurnya sendiri untuk meluahkan penghargaannya terhadap mereka yang dia sayangi.
"Lagu yang menjelaskan kepentingan sistem sokongan ini ditujukan buat rakan-rakan saya dan ia juga datang dengan sebuah video muzik hebat yang dirakam di Port Dickson, Negeri Sembilan.
"Ia menunjukkan betapa kita semua saling memerlukan. Malah, kawan-kawan rapat saya turut muncul dalam video muzik ini dan itu memudahkan proses kerana kami tidak perlu membuat sebarang lakonan. Semuanya adalah semula jadi.
"Saya juga mahu semua orang sedar bahawa hidup kita sangat beruntung dengan pelbagai nikmat walau ada cabarannya. Jadi, ia sangat penting untuk kita menghargai semua ini dalam melihat keindahan dunia," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram