
SEBUAH rumah teres satu tingkat terselamat daripada kebakaran sejurus selepas seorang suri rumah terhidu bau terbakar datang dari rumah jirannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Mohd Khairi Zainudin berkata, jiran itu sedang memasak sesuatu di atas dapur dan meninggalkannya tanpa pengawasan.
“Dia sedang mengupas bawang di ruang tamu dan terlupa sedang memasak sesuatu,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Mohd Khairi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.42 pada petang Selasa yang mana memaklumkan kejadian itu berlaku di Jalan Gelang Emas 3, Taman Gelang Patah, Iskandar Puteri, Johor.
Sejurus panggilan itu, beliau berkata, sebanyak 11 anggota bomba bersama sebuah kenderaan Tender Penyelamat Bomba (FRT) dan sebuah kenderaan utiliti dari balai dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Dapur terhindar daripada kebakaran namun terdapat kesan hitam di siling dan dinding akibat asap,” kata Mohd Khairi.
Beliau berkata, operasi ditamatkan kira-kira jam 4.03 petang dan kes masih dalam siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta kerugian. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram