Apa dah jadi nak bongkar kemelut Perak FC?


  • Podium
  • Ahad, 27 Mac 2022

PEMAIN Perak FC berdepan tunggakan gaji selama dua bulan dan nasib kelab itu masih terumbang-ambing sehingga kini. — Facebook/Perak FC

BERIKUTAN krisis melanda Perak FC yang kian berpanjangan, kelab penyokong kelab itu sebelum ini mahu membongkarkan keadaan sebenar berlaku di belakang tabir.

Justeru, satu sidang media sepatutnya diadakan pada Ahad bagi membongkar tentang pelbagai isu membabitkan Perak FC, namun setakat ini masih belum ada sebarang perkembangan terkini berhubung perkara itu.

Ketika ditanya tentang sidang media itu, sumber dalaman kelab penyokong Perak FC memberitahu akan memaklumkan tentang butirannya dalam masa terdekat.

"Nanti saya maklum balik," kata sumber berkenaan yang enggan didedahkan identitinya kepada Majoriti.

Terdahulu, seorang lagi sumber dalam kelab penyokong Perak FC memberitahu, sidang media itu akan membongkar tentang Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd.

Sumber itu berkata, pihaknya hairan apabila IMC yang hanya dilantik untuk menguruskan Perak FC turut mengambil tugas sebagai pencari dana bagi kelab itu.

"Jadi, apa kelayakannya untuk dilantik sebagai pencari dana Perak FC. Banyak lagi syarikat (yang layak) tetapi kenapa nak lantik IMC?

"Takkan IMC tak tahu berapa hutang yang ada. Bila dah sign kata ada hutang RM20 juta, sepatutnya RM6 juta sahaja," katanya.

Turut bakal didedah pada sidang media tersebut termasuk perkara berkaitan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) dan maklumat lanjut akan diberitahu kelak.

Perak FC berdepan pelbagai kemelut termasuk pemain kelab berkenaan masih belum menerima tunggakan gaji selama dua bulan.

Pasukan itu turut dihimpit masalah tidak dibenarkan menandatangani pemain baharu, berikutan hutang berjumlah RM1.7 juta yang belum diselesaikan.

Ada juga laporan mendedahkan Perak FC bakal dibeli oleh pemilik baharu dalam waktu terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram