Perak FC ada masa hingga hujung bulan — MFL


  • Podium
  • Selasa, 29 Mac 2022

PARA pemain, pegawai dan kakitangan The Bos Gaurus menerima bayaran setengah bulan gaji minggu lalu. — Perak FC

MASALAH tunggakan gaji yang melanda pasukan Perak FC seolah-olah tidak menemui jalan penyelesaian dan kini sudah berlarutan sehingga berbulan-bulan lamanya.

Minggu lalu, media melaporkan, para pemain, pegawai dan kakitangan The Bos Gaurus menerima bayaran setengah bulan gaji walaupun Perak FC pernah membuat kenyataan untuk melangsaikan tunggakan gaji untuk dua bulan terakhir selewat-lewatnya 7 Mac lalu.

Menjawab kemelut yang melanda pasukan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam berkata, Perak FC mempunyai sehingga akhir bulan ini untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Katanya, pihak MFL akan mula mengambil tindakan dalam bentuk denda dan penalti terhadap Perak jika masalah tersebut tidak berjaya diselesaikan selepas tarikh 31 Mac 2022.

"MFL masih tak terima lagi kemas kini daripada Perak FC yang boleh dijadikan penyelesaian kepada masalah yang sedang mereka hadapi ini.

"Mereka ada sampai hujung bulan ni untuk mengemukakan kepada MFL dokumen yang diminta sebelum denda dan penalti mula diambil, dan kami terpaksa lakukannya memandangkan ketiadaan dokumen yang diperlukan," katanya kepada Majoriti.

Tambah Stuart, Perak FC juga berdepan kemungkinan digantung oleh MFL sekiranya masalah itu berlarutan.

"Jika amaran dan denda yang dikenakan pada peringkat awal tidak berkesan, ia (penggantungan) boleh dilaksanakan, tetapi berdasarkan keputusan ahli lembaga pengarah MFL," ujarnya.

Khabar angin ada mengatakan Perak FC akan mendapat pemilik baharu dalam masa terdekat tetapi tiada pengesahan lanjut berhubung perkara itu.

Sebelum ini, media melaporkan desas-desus yang mengatakan syarikat berpangkalan di Singapura merupakan pihak yang berminat mengambil alih Perak FC.

Syarikat tersebut adalah Riau Capital Live (RCL) yang dimiliki oleh hartawan serta ahli perniagaan Singapura, Bambang Sugeng Kajairi.

RCL merupakan salah satu syarikat di bawah Riau Capital Group yang bertumpu pada industri pelaburan, media dan hiburan.

Syarikat tersebut sebelum ini pernah mengadakan rundingan dengan sebuah lagi kelab Liga Premier, PDRM FC pada tahun lalu, namun difahamkan usaha itu menemui jalan buntu.

Difahamkan, syarikat itu sudah membeli 70 peratus pemilikan dalam Perak FC.

Bagaimanapun tiada kenyataan rasmi daripada syarikat itu berhubung khabar angin berkenaan.

Sekiranya RCL rasmi membeli Perak FC, situasi berkemungkinan bakal berubah buat kelab itu kerana hutang sebanyak RM20 juta bukanlah satu amaun yang sedikit untuk dilunaskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram