BAGI penyokong Liverpool, perpindahan pemain pada Januari tidak memberi sebarang makna kepada mereka.
Ini kerana kelab itu tidak begitu aktif menambah pemain baharu pada jendela perpindahan Januari.
Tetapi tahun ini menyaksikan kelainan.
Pada Januari lalu, Liverpool bertindak memintas Tottenham Hotspurs untuk mendapatkan Luis Diaz selepas kelab London itu mengemukakan tawaran.
Liverpool pada asalnya mahu mendapatkan khidmat Diaz pada jendela perpindahan Jun nanti.
Ternyata tindakan Jurgen Klopp mendapatkan Diaz membuahkan hasil apabila pemain penyerang itu cemerlang bersama Liverpool setakat ini.
Tetapi bukan sahaja Diaz yang menjadi buruan.
Difahamkan, Liverpool mencapai kata sepakat dengan Fulham untuk melepaskan bintang mudanya, Fabio Carvalho ke Anfield pada Januari lalu.
Namun atas faktor tertentu, perpindahan itu tidak dapat direalisasikan.
Bagaimanapun usaha mendapatkan Carvalho tidak terhenti setakat itu kerana kedua-dua kelab tersebut sudah mencapai persetujuan dan pemain berusia 19 tahun itu akan ke Liverpool pada hujung musim ini.
Meskipun belum ada pengumuman rasmi, tetapi portal Football Insider mengesahkan bahawa Liverpool dan Fulham sudah bersetuju secara dasarnya.
Carvalho merupakan pemain tengah dan sudah menjaringkan lapan gol sepanjang musim ini dalam 29 penampilan.
Dia juga menghasilkan sembilan bantuan gol dan dianggap sebagai bintang muda yang bakal menyinar. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram