Harapan Rodney buat Sang Kenari


  • Podium
  • Selasa, 29 Mac 2022

RODNEY terkenal dengan kekebalannya di bahagian pertahanan. — KDA FC

MUSIM ini, Kedah Darul Aman (KDA) FC bermula dengan baik dalam kempen Liga Super dan pertahanan tengah, Rodney Celvin Akwensivie juga berharap pasukan dapat menamatkan musim dengan kedudukan yang kukuh.

Sang Kenari memulakan musim ini dengan langkah kanan apabila memenangi dua perlawanan pertama dengan menewaskan Sarawak United 1-0 dan Kuala Lumpur 3-2.

Dalam aksi pusingan pertama Piala FA, mereka membelasah kelab M3, Sains FC 4-0 di Stadium Darul Aman.

Ketiga-tiga kemenangan itu membuatkan penyokong berasa teruja dengan aksi serangan menakjubkan yang ditampilkan, seakan-akan mengimbau kembali zaman ketika Tan Cheng Hoe menjadi jurulatih dari 2014 hingga 2017.

Rodney berharap, pasukan yang kini dibimbing Aidil Sharin akan meneruskan prestasi itu apabila saingan liga bersambung semula dengan Kedah bakal menanti kunjungan Sri Pahang FC di Stadium Darul Aman pada 6 April.

“Kami bermula dengan baik. Penyokong menikmati permainan bola sepak kami, jadi semangat itu mesti diteruskan.

“Saya percaya apabila liga bersambung semula, kami boleh mengekalkan momentum ini kerana jurulatih telah menandatangani pemain yang sesuai dengan gayanya.

“Kami serius dalam latihan dan kami percaya akan ada peningkatan,” katanya.

Rodney, yang terkenal dengan kekebalannya di bahagian pertahanan berkata, dia juga telah membina persefahaman yang lebih baik dengan pemain yang berasal dari Korea Selatan, Jang Suk-won di bahagian pertahanan tengah.

“Tiga perlawanan bersamanya dan kami kelihatan baik. Dia memiliki kepimpinan dan komunikasi yang baik. Kami berdua membimbing rakan-rakan lain dari belakang dan saya gembira dengan gandingan kami.

“Saya hanya perlu kekal konsisten dalam setiap perlawanan. Saya tidak boleh terlalu selesa dan ambil mudah.

“Musim lalu, Kedah menduduki tempat kedua tetapi kami mahu melakukan lebih baik tahun ini. Pada 2021, jurang antara Kedah dan juara bertahan JDT ialah 14 mata. Kami menyasarkan untuk berjuang sehingga akhir musim," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram