SKUAD bola sepak kebangsaan dijadual menentang Filipina pada Rabu sebelum berdepan Singapura (Sabtu) dengan kedua-dua aksi itu berstatus perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1.
Selepas menentang Filipina dan Singapura, Harimau Malaya akan menamatkan siri aksi persahabatan di Singapura bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC pada 28 Mac.
Perlawanan menentang Filipina merupakan aksi pertama Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon.
Selain itu, para peminat bola sepak tempatan ternanti-nanti kesebelasan utama yang bakal diturunkan oleh Pan-gon serta calon kapten pada perlawanan menentang Filipina.
Menurut seorang pemerhati bola sepak tempatan, T. Avineshwaran, penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad menjadi pilihannya pada perlawanan berkenaan.
"Tindakannya menunjukkan keyakinan dan akan mendorong pemain lain untuk melakukan yang terbaik.
"Tambahan pula, setiap kali dia bermain untuk Malaysia, anda tahu dia akan memberikan yang terbaik.
"Sudah tiba masanya kita mempunyai pemimpin baharu yang membawa kita (Harimau Malaya) ke era baharu," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Selasa.
Musim ini, Syafiq beraksi sebagai pemain pinjaman di KDA FC selepas gagal mempamerkan aksi terbaik bersama Johor Darul Takzim (JDT).
Dalam dua perlawanan Liga Super, Syafiq mencipta impak segera bersama KDA FC apabila tersenarai sebagai penjaring ketika menewaskan KL City 3-2.
Syafiq dijangka mengetuai jentera serangan pasukan kebangsaan bersama Akhyar Rashid dan Arif Aiman pada perlawanan menentang Filipina. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram