BEKAS pemain Kelantan, Danial Haqim Deraman seakan-akan 'hilang' sentuhannya sejak menyertai pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila peminat merasakan pemain berbakat itu hanya sekadar memanaskan bangku simpanan.
Perkara itu diutarakan oleh pengguna Facebook Zuraimi Zukri yang menganggap Danial merupakan prospek besar skuad The Red Warriors (TRW) pada suatu ketika dahulu namun kini pemain itu sudah 16 bulan tidak kelihatan di atas padang.
TANGKAP layar dari pengguna Facebook Zuraimi Zukri.
Pemain berusia 24 tahun itu melakukan debut (penampilan pertama) bersama pasukan Kelantan pada tahun 2018 dan ketika itu pasukan TRW di bawah kendalian Fajr Ebrahim iaitu jurulatih dari Syria.
"Sejak itu ,dia tampil dalam 16 dari 17 perlawanan terakhir Liga Super. Seterusnya (dia) bermain dalam tiga perlawanan awal Piala Malaysia sebelum menerima kad merah pertama dalam kariernya.
"Danial menjadi core player pada musim seterusnya, seorang defensive midfielder yang agak keras. Dalam tempoh itu Danial Haqim tampil 37 kali iaitu dari tahun 2018 hingga 2019," katanya.
Selepas dua musim mencipta nama bersama Kelantan, pemain tengah pertahanan itu memutuskan untuk menyertai JDT pada 2021 dan sejak perpindahan, Danial tidak membuat penampilan dalam sebarang perlawanan bersama pasukan itu.
Untuk rekod, pemain kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu hanya muncul sebanyak lapan kali di bangku simpanan JDT II.
Malah, pengguna Facebook itu juga sempat membandingkan karier Danial dengan seorang pemain yang muncul pada era Fajr iaitu Shahrul Nizam Ros Hasni yang berpindah ke pasukan Terengganu FC (TFC).
"Shahrul pergi pada masa yang tepat dan pasukan yang tepat. Terus diangkat menjadi pemain utama TFC dan tampil dalam 20/22 perlawanan liga.
"Shahrul hampir menembusi skuad senior kebangsaan tetapi terhalang kerana dia pergi mencadak sotong," ujarnya.
Baginya cabaran yang dihadapi oleh Danial adalah cukup besar dengan corak permainan JDT yang beralih kepada formasi 3-4-3 iaitu hanya dua pemain tengah digunakan.
Pada perlawanan JDT II menggunakan pemain tempatannya iaitu Aysar Hadi dan Daniel Amier.
Manakala, bagi pemain import Maranon dan Sidibe merupakan pilihan seterusnya untuk bermain serta Hazwan Bakri, pemain berasal Labuan yang juga digunakan di posisi tengah.
"Apa masa depan Danial di sana? Apa yang pasti nilainya akan merosot pada peak age.
"Dalam kes ini Shahrul lebih bernasib baik berbanding Danial. JDT bukan tempat sesuai untuk pemain yang baru meningkat naik.
"Di JDT II pun susah nak dapat tempat apatah lagi pasukan utamanya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram