Jurufoto dakwa dimaki penyokong KDA FC gara-gara tidak ambil gambar mereka


  • Podium
  • Isnin, 14 Mac 2022

JURUGAMBAR itu mendakwa dimaki serta dilemparkan kata-kata lucah oleh sebilangan penyokong KDA FC di Stadium Darul Aman. — Gambar hiasan/KDA FC

SEORANG jurugambar yang bertugas ketika perlawanan pusingan pertama Piala FA antara Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang Sains FC pada Sabtu terkilan dengan perangai segelintir penyokong Sang Kenari yang disifatkan sebagai tidak matang.

Jurugambar yang dikenali sebagai Khairil Ajhar Jaafar itu mendakwa, dirinya dimaki serta dilemparkan dengan kata-kata lucah oleh penyokong KDA FC kerana tidak mengambil gambar mereka.

"Saya jarang menulis panjang, tetapi semalam (Sabtu) saya rasa attitude penyokong yang paling tak matang dalam SDA (Stadium Darul Aman) sepanjang 10 tahun lebih shoot bola.

"Photographer dimaki, dimarah (kerana) tak ambil gambar penyokong. First time kena maki dengan perkataan lucah yang jelas kedengaran dari bawah," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Ahad.

Khairil Ajhar berkata, penyokong seharusnya faham dan menghormati tugas mereka yang bekerja untuk klien dan harus menyiapkan tugasan dengan segera atas permintaan klien mereka.

Katanya, tindakan segelintir penyokong itu boleh memalukan serta menjatuhkan reputasi penyokong KDA FC yang lain di mata orang luar.

"Penyokong sekalian! Kami bekerja kat bawah, kalau kami lambat send gambar, lambat deliver, kami kena maki (oleh) si pembeli gambar.

"Tolong hormat sama profesion kami... kalau kawan-kawan yang dikenali mereka faham dah, ni rasanya sangap lama tak datang stadium.

"Saya maafkannya dan kawan-kawan... cuma agak terkilan dengan tingkah laku penyokong sendiri yang tidak hormat orang lain... buat malu kat penyokong lain dan away team dan penyokong luar dengan attitude kamu.

"Just relax and enjoy the game brother... lagi satu, tak berapa kisah anda siapa, sekali lagi maki, jom jumpa nak tanya jugalah masalah apa," katanya.

Screenshot 2022-03-13 at 8.23.15 PM

Hantaran Facebook jurugambar tersebut pada Ahad.

Sebilangan penyokong KDA FC di ruangan komen turut geram dengan insiden tersebut dan menyifatkan tingkah laku mereka adalah satu sikap yang kurang ajar dan mentaliti kelas ketiga.

Dalam perlawanan pada Sabtu itu, KDA FC menang besar 4-0 ke atas kelab Sains FC sekali gus melayakkan diri ke pusingan kedua Piala FA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram