Benjamin Mora puji nafsu buas pemain JDT memburu gol


  • Podium
  • Rabu, 16 Mac 2022

PEMAIN JDT, Muhammad Ramadhan Saifullah Usman (kiri) diasak pemain BRM FC, Faiz Hanif Adnan pada pusingan pertama kalah mati saingan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim baru-baru ini. — Bernama
JOHOR Darul Takzim (JDT) nampaknya berada dalam prestasi yang cukup cemerlang apabila berjaya menjaringkan 20 gol dan tidak pernah dibolosi dalam empat perlawanan setakat ini.

Malah, kemenangan besar terhadap Sarawak United (6-0) dan BRM FC (10-0) juga bukan satu perlawanan yang memberi tekanan kepada mereka.

Namun, jurulatih JDT, Benjamin Mora menyifatkan yang bukan sesautu yang mudah untuk mereka mengekalkan momentum begitu terutamanya tahap konsistensi dalam 90 minit perlawanan.

Menggunakan perlawanan dengan BRM sebagai contoh, Mora berkata, adalah sukar untuk mengekalkan nafsu buas untuk mencari lima gol semasa separuh masa kedua selepas menjaringkan lima gol terdahulu sebelum itu.

Menerusi perlawanan itu, penyerang Argentina, Fernando Forestieri menjadi tumpuan dengan jaringan hatrik (minit ke-2, ke-24 dan ke-42).

Gol lain dijaringkan oleh Safiq Rahim (ke-7), Safawi Rasid (ke-19), Mauricio Nascimento (ke-56), Moussa Sidibe (ke-70), Daryl Sham (ke-82), Mohamadou Sumareh (ke-89) dan Daniel Amier Norhisham (ke-93).

"Adalah sukar untuk mengekalkan gaya permainan dan disiplin kami kerana kadangkala, selepas tiga atau empat gol, anda cenderung untuk menjadi sangat selesa.

"Tetapi kami di JDT tidak akan berhenti sehingga wisel penamat. Kami kekalkan konsisten untuk bermain dengan baik sepanjang minit perlawanan dan akhirnya berjaya menjaringkan sebanyak mungkin gol," katanya.

Menurut Mora, penjaga gol, Haziq Nadzli juga berjaya beraksi cemerlang dengan menghalang sepakan penalti walaupun jumlah jaringan mereka ketika itu sudah jauh mengatasi lawan.

"Haziq tidak mengambil mudah sepakan penalti itu dan akhirnya berjaya menghalang bola daripada menembusi gawang," katanya.

Tambah Mora, dia juga sebenarnya ada memberitahu pasukannya yang dia mahu mereka menjaringkan dua lagi gol selepas gol kelapan.

Ternyata jelasnya, pasukannya berjaya memenuhi permintaannya dan itu sangat menggembirakan kerana jelas menunjukkan pemainnya mempunyai matlamat dan sentiasa dahagakan kejayaan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

sukan, benjamin mora, jdt, nafsu buas, gol, brm fc