PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan beliau bakal mengambil alih jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) seperti yang digembar-gemburkan ketika ini.
Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, terdapat perkara yang lebih mustahak ketika ini yang harus beliau utamakan berbanding mengetuai badan induk itu.
"Maka terpaksalah saya akui suatu ketika dulu skil permainan bola sepak saya hampir menyamai Lionel Messi atau belakang sedikit berbanding Karim Benzema.
"Tetapi itu tidaklah bermakna saya mengidamkan jawatan presiden mana-mana persatuan bola sepak dalam negara sedangkan ada perkara lebih mustahak untuk diutamakan," katanya menerusi satu hantaran Facebook pada Selasa.
Sejak beberapa hari ini, nama Ahmad Zahid serta Menteri Wilayah, Datuk Seri Shahidan Kassim disebut-sebut bakal menerajui KLFA susulan pengunduran Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Namun, beliau menegaskan tidak berminat untuk terlibat dalam mana-mana persatuan bola sepak buat masa ini biarpun mempunyai pengalaman terlibat dalam beberapa kelab sebelum ini.
Zahid sebelum ini pernah menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan juga penasihat bagi pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jelasnya, beliau kini mahu memberi fokus terhadap jawatan yang disandang dalam politik, iaitu sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno.
"Melaksanakan sejujurnya amanah diberikan oleh akar umbi untuk menggembalikan kegemilangan Umno dan BN dalam persada politik tanah air.
"Menunaikan secara bersungguh-sungguh kewajipan untuk memastikan kestabilan, kemakmuran, kesejahteraan dan kemajuan dikembalikan di Malaysia," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram