Yati Kampung Pisang akui tidak pandai bersilat, lebih mencabar berlakon tanpa purdah


  • Hiburan
  • Rabu, 16 Mac 2022

NORAINISHAM akui watak Yati lebih mencabar tanpa purdah, selain membongkar rahsia dia sebenarnya tidak tahu bersilat.

"SAYA hanya jadi diri sendiri ketika bawa watak Yati."

Demikian perkongsian pelakon baharu, Norainisham Shamsul Hafizi tentang pengalamannya berlakon dalam filem Kampung Pisang Berbuah Dua Kali.

Kata gadis berusia 23 tahun itu, dia mengakui membawa watak Yati sangat mencabar terutama apabila kali ini dia tampil dengan imej tanpa purdah.

"Yati yang dulu (Kampung Pisang Musikal Raya) berbeza dengan sekarang, dulu saya pakai purdah jadi untuk lakonan ekspresi muka itu sangat minimum.

"Bila arwah (Mamat Khalid) dan Amen Khalid kata kali ini Yati tidak pakai purdah, awalnya saya sudah gementar kerana kali ini saya perlu lebih komited untuk lakonkan watak Yati," katanya kepada Majoriti.

Anis

NORAINISHAM gemarkan genre aksi dan mahu cuba watak antagonis.

Tambahnya, meskipun masih baharu dalam dunia lakonan, Norainisham sangat bersyukur kerana pelakon-pelakon senior banyak membantu dan memberi nasihat dan tunjuk ajar kepadanya.

Katanya yang meminati genre filem aksi, dia juga teruja apabila diberitahu watak Yati juga ada adegan bersilat.

Kata anak jati Ipoh, Perak itu, walaupun dia teruja untuk melakonkan adegan aksi, dia sebenarnya tidak pandai bersilat.

"Saya tidak pernah mengambil sebarang seni mempertahankan diri dan untuk adegan itu saya harus belajar dengan seorang guru silat yang dikenalkan oleh Amen.

"Adegan tersebut merupakan salah satu adegan yang saya suka dan pada masa sama mencabar kerana ketika bertarung dengan Cik Mek (Eina Azman) saya perlu berjaga-jaga, tetapi cuba menampakkan ia seperti pergaduhan sebenar," ujarnya yang meminati lakonan Janna Nick dan Nabila Huda.

Berkongsi tentang perancangan akan datang, Norainisham memberitahu, dia mahu memperbaiki lagi mutu lakonannya.

Katanya lagi, jika diberi peluang dalam projek lain dia mahu cuba membawakan watak antagonis pula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram