TIADA perubahan, sama sahaja seperti pilihan bekas ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Ho, itu antara pandangan yang diutarakan oleh rata-rata peminat bola sepak negara terhadap senarai 30 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya di bawah kendalian bos baharu, Kim Pan Gon.
Pada Khamis, ketua jurulatih skuad kebangsaan itu mengumumkan senarai berkenaan yang sebelum ini dinanti-nantikan oleh para peminat bola sepak tanah air.
Bagaimanapun, tidak semua yang teruja dengan senarai itu yang dikatakan tidak ada perubahan dan dimonopoli oleh pemain dari kelab Johor Darul Takzim (JDT).
Berkongsi ciapan di Facebook, Penyokong Bola Sepak Kedah Darul Aman, Mohd Ridzwan Muhamad memberikan pandangan sinis tentang senarai pemain yang dikatakan sama seperti pilihan Cheng Ho atau juga dikenali sebagai TCH.
"Setelah perbincangan meja bulat bersama bos besar, maka inilah senarai nama yang akan bermain untuk negara.
"Kata nak pemain yang ada minit permainan,tapi skrip yang sama," kongsinya dipercayai merujuk bos besar itu kepada pemilik JDT.
Di ruangan komen juga ramai yang bersetuju dengan pandangan itu, malah ada yang berpendapat ramai lagi pemain lebih layak berbanding senarai tersebut.
Pemilik akaun, Shiqah Fauzi menyatakan senarai itu masih sama seperti pilhan Cheng Ho tetapi tanpa pemain penyerang JDT, Guilherme de Paula.
Serampang Patah pula berkongsi, " Negeri lain mana? Banyak negeri yang ada pemain-pemain berkebolehan.
"Ini tengok macam muka-muka yang sama sahaja," kongsinya.
Fairul Hafizi pula memberi pandangan dengan menyatakan senarai berkenaan umpama Pan Gon hanya menyambung semula kerja Cheng Ho.
"Hasil penilaian tiga tahun lepas katanya, bukan nak pertikai tetapi ambil pemain yang bermain dalam liga dan bukan hasil penilaian video sahaja.
"Ini macam hang (kamu) sambung kerja Cheng Ho," komennya.
Seorang lagi pemilik akaun, Fairul Hafizi turut mempunyai pandangan sama dan turut menyenaraikan beberapa pemain lain yang lebih layak.
"Bosan pilihan melalui pilihan tiga tahun lepas, sebab itu sama dengan pasukan Cheng Ho.
"Ramai lagi pemain seperti pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kuala Lumpur (KL) City FC, Pulau Pinang yang lebih cemerlang, lebih banyak minit bermain berbanding yang tidak pernah beraksi langsung," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram