Kim Swee buka rahsia pikat barisan bintang sertai Sabah FC


  • Podium
  • Jumaat, 11 Mac 2022

KIM Swee memegang jawatan ketua jurulatih Sabah FC sejak Oktober tahun lalu. — Sabah FC

MUSIM ini, Sabah FC mengejutkan ramai pihak apabila berjaya menarik beberapa pemain ternama ke Stadium Likas, terutamanya bekas kapten Kedah Darul Aman FC) Baddrol Bakhtiar dan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.

Ramai yang berpendapat perpindahan itu tidak mungkin berlaku tanpa peranan besar yang dimainkan oleh ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee yang pernah bersama-sama pemain berkenaan ketika membimbing skuad kebangsaan.

Beliau menyertai Sang Badak Oktober tahun lalu, melepaskan jawatan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang disandangnya sejak Januari 2021.

Bercakap kepada media antarabangsa, Kim Swee mengakui hubungan baiknya dengan pemain-pemain itu merupakan antara faktor beliau berjaya menarik mereka untuk ke Borneo.

"Apabila saya cakap dengan pihak pengurusan dan beritahu saya akan dapatkan mereka berdua terutamanya Baddrol, mereka bertanya kepada saya: "kamu pasti dia nak datang?"

"Saya beritahu mereka serahkan kepada saya dan bila tiba masanya, ia hanyalah proses rundingan terutamanya mengenai terma kontrak. Jika mereka boleh capai persetujuan mengenai itu, sudah tentu dia akan datang," katanya.

Jelas Kim Swee, tidak mudah untuk meyakinkan kedua-dua pemain itu untuk menyarung jersi Sabah FC memandangkan kedua-duanya sudah berada di penghujung karier.

Selain itu, beliau mengakui mengambil risiko dengan membawa pemain seperti Irfan Fazail dan Gary Steven Robbat yang bergelut dengan masalah kecederaan.

"Saya beritahu mereka berdua... inilah peluang seumur hidup anda, inilah peluang kedua untuk anda buktikan diri anda dan juga kepada pemnokong bahawa anda masih bagus.

"Saya percaya jika mereka berusaha keras seperti yang mereka lakukan sekarang, bila-bila masa saja mereka boleh sertai skuad kebangsaan kerana mereka adalah pemain yang berkualiti," katanya.

Tambahnya, beliau sememangnya mempunyai hubungan yang baik dengan kesemua pemain tersebut dan sering berhubung dengan mereka walaupun sudah tidak lagi melatih mereka.

"Dalam 10 tahun terakhir ini, mereka akan telefon saya lepas habis musim dan bertanya bila saya mahu keluar daripada FAM dan sama ada saya berkhidmat di kelab.

"Saya kata kepada mereka bahawa mereka adalah individu pertama yang saya akan hubungi jika saya buat keputusan untuk keluar daripada FAM," katanya yang bersama FAM sejak 2009.

Tambah Kim Swee, ramai lagi anak didiknya dalam skuad Harimau Muda yang berhasrat menyertainya di Sabah FC, namun beliau mahu memberi ruang kepada pemain tempatan Sabah untuk turut menunjukkan kebolehan.

"Sebenarnya boleh dikatakan semua skuad Harimau Muda mahu sertai saya tetapi saya tak boleh lakukan itu, pemain tempatan yang ada di sini, mereka juga adalah berbakat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram