TMJ 'sponsor' kos padang baru SNBJ, warganet persoal mana RM10 juta


  • Podium
  • Khamis, 10 Mac 2022

Terdahulu, Tuanku Mahkota Johor itu mempersoalkan kos RM10 juta yang diperlukan untuk membuat padang baharu SNBJ. — Instagram TMJ

PEMILIK Johor Darul Takzim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim difahamkan menaja kos untuk membuat padang baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dan tajaan berupa rumput jenis Zeon Zoysia itu disifatkan sebagai hadiah.

Perkara itu dimaklumkan oleh pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam menerusi satu ciapan di Twitter pada Khamis.

tmj belanja

TANGKAP layar ciapan Zulhelmi berhubung tajaan dari TMJ. — Twitter

Hadiah berkenaan adalah sama dengan padang di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di Iskandar Puteri, Johor, yang mana turut menggunakan rumput jenis Zoysia.

Rata-rata warganet menimbulkan persoalan ke mana perginya RM10 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan untuk menaiktaraf stadium negara itu sehinggakan TMJ mengambil insiatif dengan menaja kos.

"Jadi duit yang dapat RM10 juta untuk naik taraf padang Bukit Jalil itu masuk poket siapa pula," kata pengguna Twitter, Cthulhu Awaken.

"Padahal duit kerajaan banyak itu. Nak belanja atau tidak saja. Ini orang sudah taja, guna ke tidak duit itu tidak tahu," kata satu lagi pengguna Twitter, Pakcik Simple.

"Nak kena orang belanja baru jalan kalau tidak sampai kiamat tidak tukar," kata Dopejerseystore.

Terdahulu, Tuanku Mahkota Johor itu mempersoalkan kos RM10 juta yang diperlukan untuk membuat padang baharu SNBJ.

Katanya, kos itu terlalu tinggi kerana beliau hanya memerlukan RM1.4 juta untuk membuat padang menggunakan rumput jenis Zoysia di SSI yang lengkap dengan sistem perpaipan, perparitan, tanah dan pelbagai lagi.

Pada September tahun lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjawab isu peruntukan penambahbaikan stadium yang bernilai RM10 juta.

Katanya, peruntukan itu bukan hanya membabitkan SBNJ saja namun turut merangkumi beberapa venue utama di seluruh negara.

Jelasnya, kos itu sebenarnya akan digunakan bagi kebanyakan padang stadium yang memerlukan baik pulih atau penambahbaikan di seluruh Malaysia.

"Benar saya ada mengadakan perjumpaan dan berbicara tentang beberapa perkara dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim termasuk mengenai untuk memperbaiki padang-padang bola sepak di seluruh negara bukan saja di Bukit Jalil.

"Saya kira ada kemungkinan sembah saya mungkin tidak begitu tepat tetapi perkara yang dibincangkan adalah untuk padang-padang di seluruh negara, bukan hanya satu padang di Stadium Nasional.

"Perkara itu sering diingatkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada saya, malah selepas perbincangan itu sering diperingatkan kepada saya untuk memberi fokus kepada menaik taraf padang bola sepak di stadium seluruh Malaysia," kata Ahmad Faizal kepada media selepas mengadakan kunjungan ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram