Pan-gon uji barisan berpotensi


  • Podium
  • Khamis, 10 Mac 2022

PAN-GON mengumumkan senarai nama pemain untuk panggilan ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya pada sidang akhbar di Wisma FAM, petang Khamis. — FAM

KETUA Jurulatih Harimau Malaya baharu, Kim Pan-Gon bersedia untuk menguji barisan berpotensi ‘utama baharu’ pasukan kebangsaan ketika berhadapan Siri Tiga-Negara FAS 2022 di Singapura sebagai persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun.

Daripada 30 pemain yang diumumkan jurulatih dari Korea Selatan itu, hanya pemain kelahiran United Kingdom, Nathaniel Shio Hong Wan dan Khair Muhammad Jefri Jones, merupakan pemain yang buat pertama kalinya dipanggil untuk latihan pusat skuad utama.

Manakala lain-lain pemain adalah terdiri daripada barisan biasa lama yang juga memperlihatkan penyertaan kembali bekas ketua pasukan Safiq Rahim, 35, manakala 15 daripada 24 pemain pasukan yang gagal di Piala AFC 2020 tahun lepas, turut tersenarai.

Pan-Gon turut menamakan dua pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh (pemain sayap) dan Liridon Krasniqi (penyerang/tengah) - bagaimanapun Guilherme de Paula tidak disenaraikan.

Beliau berkata, panel jurulatih telah berbincang dan menilai pemain berdasarkan kepada prestasi semasa Liga Malaysia, dan maklumat tambahan berdasarkan kepada stastistik lepas dan jumlah minit permainan dalam perlawanan antarabangsa dari 2019 dan 2021.

"Kami telah mengenal pasti hampir 70 pemain sebelum mengurangkannya kepada pemain-pemain yang kami percaya sesuai dengan falsafah permainan dan pelan taktikal kami.



BARISAN pemain Harimau Malaya.

"Kami tidak mungkin 100 peratus tepat, tetapi kami akan menganalisis keupayaan mereka dari segi teknikal, taktikal dan tingkah laku profesionalisme.

"Selepas kem ini, sehingga Jun, kami mempunyai banyak peluang untuk melihat perlawanan liga setiap minggu, jadi kami mungkin mendapatkan maklumat yang lebih banyak mengenai pemain dari semasa ke semasa.

"Jadi kami mahu meminta daripada media dan peminat, sila sokong kami, tunggu dahulu dan kemudian kami akan cuba memilih yang terbaik untuk Malaysia,” katanya dalam satu sidang media di Wisma FAM pada Khamis.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas pemilihan pemain itu secara individu.

Pan-Gon berkata, menerusi objektif jangka pendek untuk panggilan itu ialah bersedia untuk kelayakan Piala Asia pada Jun, dengan visi masa panjangnya antara lain ialah membina satu model permainan pasukan kebangsaan Malaysia (cara permainan Malaysia).

Menurutnya, selain itu ialah mencari semula keyakinan pasukan, dalam usaha mewujudkan satu semangat berpasukan yang kuat dan mentaliti untuk menang.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan untuk berhadapan Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah Singapura pada 26 Mac dalam perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Singapura, sebelum bertemu pasukan Liga Singapura Albirex Niigata pada 28 Mac di Stadium Jalan Besar.

Para pemain akan melaporkan diri di sebuah hotel di Petaling Jaya pada 14 Mac dan dijadualkan untuk berlatih di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk lapan hari, sebelum berlepas ke Singapura pada 22 Mac. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

S

harimau malaya, kim pan-gon, bola sepak, FAM,