'Orang tua pun main bola lagi, janganlah bersara. Tahniah JDT'


  • Podium
  • Ahad, 27 Feb 2022

JDT menjuarai Piala Sumbangsih selepas menewaskan KL City 3-0 pada Sabtu. — Bernama

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor nyata 'lega' dengan kemenangan Johor Darul Ta'zim (JDT) ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City) 3-0 dalam Piala Sumbangsih pada Sabtu.

Menurut Muhammad Sanusi, kemenangan JDT itu bermakna pemilik pasukan gergasi selatan tanah air tersebut, Tunku Ismail Sultan Ibrahim perlu 'melupakan' hasrat untuk bersara daripada arena bola sepak negara.

Pada Jumaat lalu, Tunku Ismail menerusi Instagram menyatakan hasrat untuk bersara daripada arena bola sepak negara sekiranya JDT kalah kepada KL City.

Ujar Muhammad Sanusi secara berseloroh, hanya individu yang melepasi usia, memilih untuk bersara namun ia hak masing-masing untuk berbuat demikian.

“Tahniah kepada JDT atas kemenangan Piala Sumbangsih. Bersara atau tidak itu pilihan masing-masing, orang yang nak bersara biasanya tua, yang muda nak bersara buat apa?

“Orang tua pun main bola lagi, janganlah bersara. Nanti saya tak ada saingan pula untuk ‘memanaskan’ suasana di luar padang," katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan pagi bersama penjawat awam negeri Kedah dan pelancaran Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat negeri di Wisma Darul Aman, Kedah pada Ahad.

Pada Sabtu, JDT menjuarai perlawanan Sumbangsih empat musim berturut-turut sejak 2018.

Gol-gol JDT dijaringkan oleh Nadzmi Faiz, Fernando Forestieri dan Afiq Fazail. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram