Kapten Namibia import terakhir TFC


  • Podium
  • Sabtu, 26 Feb 2022

PETRUS Shitembi menjadi pemain import terakhir diikat TFC dalam misi menjulang sekurang-kurangnya satu piala pada Liga M musim ini. — Sinar Harian

KAPTEN pasukan kebangsaan Namibia, Petrus Shitembi menjadi pemain import terakhir diikat Terengganu FC (TFC) Sdn Bhd dalam misi menjulang sekurang-kurangnya satu piala pada Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, pemain yang mendapat jolokan 'The Dancing Shoes' itu telah menandatangani kontrak untuk tempoh setahun dan didaftarkan di bawah pasukan Terengganu FC ll (TFC ll).

"Shitembi yang telah membuat 60 penampilan bersama skuad kebangsaan Namibia telah sah menjadi milik TFC Sdn Bhd selepas berjaya didaftarkan pada hari terakhir jendela perpindahan pertama pemain Liga M pada 22 Februari lepas.

"Kami yakin dan percaya kehadiran beliau akan memperkuatkan lagi jentera tengah pasukan Terengganu FC (TFC) dan TFC ll dalam mengharungi cabaran Liga M yang akan bermula 5 Mac ini," katanya pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ab Rasid berkata, pihaknya juga telah maklum dan akur dengan hukuman serta denda oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap TFC ll susulan insiden panas ketika Kejohanan Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu, awal bulan ini.

Beliau berharap hukuman tersebut akan menjadi pengajaran kepada semua pihak terutama pemain dalam memastikan insiden tidak berulang.

"Hukuman itu tidak boleh dirayu. Jadi kami terima dengan hati terbuka sekiranya kedua-dua pemain TFC ll benar-benar melakukan kesilapan," katanya.

Pada Jumaat, FAM menjatuhkan denda RM10,000 kepada TFC II dan RM5,000 kepada Penang FC kerana gagal mengawal tingkah laku pemain hingga tercetus pergaduhan dengan pemain pasukan lawan seterusnya menyebabkan kecederaan.

Turut dikenakan hukuman, pemain pertahanan TFC II, Muhammad Aqil Irfanuddin Mohd Sabri yang melakukan provokasi kepada pemain lawan dengan didenda RM2,000 dan digantung sebulan daripada terbabit sebarang aktiviti bola sepak bermula 24 Februari hingga 25 Mac depan.

Pemain sayap TFC II, Mohammad Ridzuan Mohd Razali pula didenda RM4,000 dan digantung dua bulan daripada terlibat dengan aktiviti bola sepak bermula 24 Februari hingga 24 April depan.

Pemain Penang FC, Anselmo Arruda Da Silva pula digantung sebulan daripada terbabit sebarang aktiviti bola sepak bermula 24 Februari hingga 25 Mac selain didenda RM3,000 kerana melakukan terjahan ke atas pemain TFC II manakala seorang lagi pemain skuad kendalian Tomas Trucha, Endrik Dos Santos digantung dua minggu hingga 9 Mac depan dan didenda RM1,000 kerana dikesan menumbuk bahagian belakang pemain TFC II.

Semua hukuman tidak boleh dirayu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

TFC ll, TFC sdn bhd, ab rasid jusoh, liga M, FAM