TIGA pemain import baharu memberi keyakinan kepada ketua jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim dalam usaha membawa pasukan mencabar kejuaraan Liga Premier, musim ini.
Tiga pemain itu adalah Yuki Tanigawa dari Jepun yang beraksi di posisi tengah serta dua penyerang, Abu Kamara dari Liberia dan pemain berasal dari England, Keanu Marsh-Brown.
Irfan berkata, ketiga-tiga pemain itu mampu memainkan peranan penting dan memberi nilai tambah kepada kekuatan pasukannya.
"Dengan kehadiran tiga pemain import baharu mungkin dapat mengubah suasana pasukan saya,” katanya.
KEANU Marsh-Brown antara pemain import yang membarisi skuad The Cats. — Facebook
Kuching City FC yang menamatkan kempen Liga Premier 2021 di kedudukan kelima akan memulakan saingan musim baharu menentang PDRM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 7 Mac.
Musim ini juga bakal menjadi tahun terakhir Irfan Bakti bergelar jurulatih selepas pengendali berusia 70 tahun itu menyatakan hasratnya untuk bersara pada penghujung musim.
"Sebelum saya tinggalkan dunia bola sepak, saya nak Kuching City FC berada di Liga Super. Untuk masa depan saya tidak tahu lagi sebenarnya tetapi niat saya memang ini tahun terakhir saya.
"Saya rasa saya jurulatih paling tua di Malaysia ketika ini,” katanya dalam nada ketawa.
Mengulas mengenai cabaran yang bakal dihadapi, Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 itu menyifatkan saingan musim ini lebih mencabar dan setiap pasukan mempunyai kekuatan tersendiri.
Justeru, beliau yang merangkul kejuaraan Piala FA bersama Terengganu pada 2011 menuntut barisan pemain Kuching City FC mengekalkan fokus meraih kemenangan dalam setiap perlawanan serta tidak memandang rendah keupayaan pihak lawan.
"Matlamat dan objektif pasukan adalah naik ke atas (layak ke Liga Super) jadi permikiran pemain perlu ada mentaliti juara,” katanya.
Selepas menewaskan Sabah FC 1-0 di Kota Kinabalu hujung bulan lepas, Kuching City FC akan melengkapkan siri jelajah perlawanan persahabatan pramusim di Semenanjung menentang Negeri Sembilan FC (15 Februari), Petaling Jaya City FC (17 Februari) dan juara Liga Super 2021 Johor Darul Takzim (JDT) pada 19 Februari. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram