PENJAGA gol Terengganu FC (TFC), Mohd Suhaimi Husin mengakui tercabar dengan kehadiran semula Rahadiazli Rahalim yang mengalami kecederaan panjang musim lalu.
Musim lalu, Mohd Suhaimi diberi peranan utama selepas Rahadiazli mengalami anterior cruciate ligament (ACL) ketika sesi latihan pasukan berkenaan.
Bagaimanapun, Mohd Suhaimi menyifatkan kehadiran Rahadiazli sebagai satu persaingan sihat untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad musim depan.
“Untuk diri saya sendiri, saya mengakui semakin yakin dan berani selepas satu musim diberi kepercayaan dan mahu melakukan yang lebih baik untuk musim ini.
“Dengan beberapa perlawanan persahabatan yang ada setakat ini benar-benar membantu kami semua untuk mencipta keserasian dan lebih bersedia untuk sepak mula Liga Super," katanya.
TFC akan memulakan kempen Liga Super menentang Sri Pahang FC pada 5 Mac depan.
Dalam pada itu, ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain gembira dengan kehadiran semula Rahadiazli dan menyifatkan penjaga gol berusia 21 tahun itu berada pada landasan terbaik untuk mendapatkan kembali kecergasan.
“Saya tengok dia memang sudah pulih 100 peratus dan semakin menunjukkan peningkatan positif setakat ini.
“Tetapi disebabkan dia sudah satu musim tidak bermain, kita tidak mahu tergesa-gesa sangat untuk memaksa dia beraksi sebab risau takut apa-apa berlaku.
“Kita memang nak gunakan khidmat dia pada musim ini tetapi kena tengok juga dari masa ke semasa bagaimana dia kembali untuk mendapatkan momentum atas padang.
“Tetapi saya masih ada Mohd Suhaimi dan Shamirza Yusoff, jadi kita punya banyak pilihan dan saya tidak terlalu risau kalau kita kekurangan penjaga gol”, jelasnya.
Kali terakhir Rahadiazli beraksi bersama TFC adalah pada musim lalu sewaktu menentang Sabah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram