Kecederaan Adib tidak serius


  • Podium
  • Ahad, 13 Feb 2022

ADIB (baju kuning) terlibat dalam pergaduhan ketika menentang TFC II pada Rabu lalu. — Facebook

PENANG FC pada Ahad mengesahkan pemain sayap pasukan, Adib Raop mengalami kerosakan tulang rawan dan luka dalam hidung akibat insiden pergaduhan ketika menentang Terengganu FC II (TFC II) dalam saingan akhir Piala Menteri Besar Terengganu di Kuala Terengganu, Terengganu pada Rabu lalu.

Pengurus Besar pasukan, Jeffrey Chew berkata, Adib kini dalam proses pemulihan hasil tindakan pantas pasukan perubatan dan pihak hospital.

"Adib dibawa untuk pemeriksaan di sebuah hospital swasta dengan serta-merta setibanya mereka kembali (ke Pulau Pinang) pada keesokan harinya (10 Februari).

"Selepas penilaian perubatan, tiada ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) diperlukan dan beliau disahkan tidak mengalami kecederaan serius selepas pemeriksaan lanjut di hospital,” katanya.

Beliau berkata, pasukan Pulau Pinang memandang serius dan mengutamakan keselamatan pasukan serta akan terus memberikan penjagaan sebaik mungkin ke atas pemain.

Dalam pada itu, beliau berkata, skuad Harimau Kumbang kini sedang menjalani latihan rutin sebagai persediaan berdepan beberapa perlawanan persahabatan sebelum saingan Liga Super 2022 bermula Mac ini.

Penang FC dijadual menentang Melaka United FC pada 8 Mac di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Pulau Pinang. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram