PERSATUAN Bola Sepak Perlis (PFA) perlu bangkit dan terus berjuang dalam menghidupkan kembali sukan bola sepak di negeri itu.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin melontarkan keyakinan bahawa Perlis mampu bangkit menerusi beberapa langkah yang dibuat oleh PFA.
Tambah Hamidin, PFA berada pada landasan terbaik apabila sudah membentuk akademi bola sepak, Akademi Star Lion Perlis FA dan liga sendiri (Liga Perlis), selain penyertaan Kelab Bola Sepak Perlis United (PUFC) dalam saingan Liga M3.
"Ini usaha yang besar dan harus dipuji kerana ia membuktikan komitmen Perlis dalam membangunkan semula bola sepak negeri,” katanya menerusi hantaran menerusi Facebook rasmi FAM pada Isnin.
Dalam pada itu, ujar Hamidin, FAM sentiasa memberi khidmat sokongan dan bantuan dari sudut urus tadbir, teknikal serta pembangunan pertandingan kepada ahli gabungannya.
Terdahulu, PFA pada Isnin menerima kunjungan hormat delegasi FAM diketuai Hamidin.
Pada pertemuan selama dua jam itu, Presiden PFA, Zamri Ibrahim berkongsi maklumat terkini mengenai keadaan semasa bola sepak Perlis dan menyifatkan 2022 sebagai tahun kebangkitan semula pasukan Singa Utara.
"Sokongan FAM akan terus menjadi pemangkin buat PFA membangunkan lagi bola sepak Perlis,” katanya menerusi hantaran berkenaan.
Kunjungan hormat ke atas PFA adalah yang kesembilan selepas antaranya Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Sukan India Malaysia (MISC), Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM).
Pertemuan pada Isnin juga merupakan kunjungan hormat pertama FAM pada 2022 selepas usaha yang selari dengan Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE) itu terhenti seketika berikutan penularan Covid-19.
Turut mengiringi Hamidin pada kunjungan hormat itu adalah dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram, barisan ahli jawatankuasa eksekutif FAM dan Setiausaha Agung badan induk itu, Mohd Saifuddin Abu Bakar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram