KEBENARAN untuk penyokong menyaksikan pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 di stadium adalah 50 peratus kapasiti stadium atau maksimum 20,000 penyokong, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.
Hamidin berkata, setakat ini, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membenarkan jumlah itu hadir ke stadium menyaksikan pelawanan yang dihoskan Malaysia.
"Kita akan terus pantau keadaan Covid-19 semasa dan mempunyai masa sehingga Jun...sekiranya keadaan mengizinkan, kita akan memohon KKM dan MKN untuk membenarkan lebih ramai penyokong masuk ke stadium untuk menyaksikan pelawanan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan padang sintetik Kopa Arena di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada Ahad.
Hamidin berkata, situasi kes Covid-19 sekarang masih tinggi dan pematuhan prosedur operasi standard adalah penting dalam menjamin keselamatan dan kesihatan semua pemain.
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam kenyataan baru-baru ini telah mengumumkan bahawa Malaysia telah dipilih sebagai satu daripada enam tuan rumah untuk pusingan akhir kelayakan untuk merebut tempat ke Piala Asia 2023 di China.
AFC turut menyenaraikan India, Kuwait, Kyrgyzstan, Mongolia dan Uzbekistan sebagai tuan rumah bagi kelayakan untuk menentukan baki 11 pasukan yang akan mara ke Pusingan Akhir yang akan diadakan di 10 bandar di China.
Kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia secara merit pada edisi Kuwait 1980, manakala pada 2007, skuad Harimau Malaya tampil sebagai tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Sementara itu, Hamidin berkata, calon jurulatih tempatan yang akan dipilih sebagai pembantu jurulatih kepada ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon akan diumumkan minggu depan.
Beliau berkata, hak pemilihan pembantu jurulatih tempatan diserahkan kepada ketua jurulatih dan Pan-gon akan mengumumkan calon itu minggu depan.
"Insya-ALLAH kita akan umum nama dia (pembantu jurulatih) pada Selasa atau Rabu depan...ketua jurulatih akan lakukan pengumuman tersebut," katanya.
Pada Sabtu, media tempatan melaporkan bahawa jurulatih dari Korea Selatan itu berminat untuk berjumpa dengan tujuh calon jurulatih tempatan sebelum mengumumkan pembantunya dalam barisan kejurulatihan baharu skuad Harimau Malaya.
Perlawanan persahabatan menentang Filipina pada 23 Mac dan Singapura pada 26 Mac adalah ujian awal buat Pan-gon, sebagai persediaan menjelang pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram