Pan-gon cari pemain sesuai corak Korea Selatan


  • Podium
  • Sabtu, 19 Feb 2022

PAN-GON (tengah) berdepan misi untuk menaikkan semula nama Harimau Malaya. — Bernama

NAFAS baharu corak permainan yang ingin diterapkan ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan, Kim Pan-gon, memerlukan barisan pemain muda bagi menjayakan pendekatan gaya permainan agresif dan berani, seperti yang diinginkan.

Penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli berkata, penggunaan taktikal agresif pada perlawanan berintensiti tinggi, memerlukan pemain yang mampu mengekalkan kecergasan pada tahap tertinggi sepanjang 90 minit aksi dan kebolehan itu lebih cenderung dimiliki pemain muda.

Malah, Ketua Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi itu menyifatkan, pemain muda turut mempunyai kelajuan, sekali gus menjadi pakej terbaik dan lebih memudahkan perancangan taktikal ingin dibawa jurulatih dari Korea Selatan berusia 52 tahun itu.

"Jadi saya nampak pemain-pemain otai...Pan-gon kena lupakan, kerana bola sepak hari ini sudah berubah. Pemain otai memang bagus mungkin dari segi pengalaman tetapi dia akan merosakkan tempo permainan, sekali gus tak dapat corak permainan yang konsisten dalam perlawanan.

"Kalau dalam kesebelasan utama hampir semuanya mempunyai kelajuan dan ketangkasan dengan tahap kecergasan tinggi, tiba-tiba ada satu atau dua pemain ‘otai’ main. Itu penting untuk dipertimbangkan,” katanya ketika dihubungi Bernama, pada Sabtu.

Sementara itu, Pekan berkata, pemain sayap lincah Terengganu FC (TFC), Muhammad Faisal Abdul Halim dan pemain tengah Kuala Lumpur (KL) City FC, Muhammad Akram Mahinan, antara yang dijangka tidak berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan sistem baharu Pan-gon.

Selain dua pemain itu, beliau optimis pemain sayap TFC, Muhammad Hakimi Abdullah dan Pemain Terbaik final Piala Malaysia 2021, Zhafri Yahya, turut memiliki potensi yang baik di bawah bimbingan bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) itu.

"Mereka antara pemain yang mempunyai kadar kerja tinggi dalam permainan, kita juga nak pemain yang sanggup bermati-matian di padang, tambahan Pan-gon mesti akan cari pemain yang boleh beliau gunakan untuk cuba menyamai cara Korea Selatan bermain,” katanya.

Dalam pada itu, Pekan berharap, Pan-gon dan barisan kejurulatihannya dapat memberikan perhatian kepada pemain-pemain muda dari pasukan atau pun kelab yang sederhana, selain mendapatkan pemain muda yang benar-benar ingin beraksi ‘demi lencana di dada’.

Dalam sidang media memperkenalkannya dan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan yang baru, Pan-gon menyasarkan untuk menyediakan asas yang kukuh, dan berazam membawa skuad Harimau Malaya ke satu tahap lebih tinggi melangkaui rantau Asia Tenggara.

Meskipun tidak menyatakan secara terperinci mengenai taktikal bakal digunakan, Pan-gon tanpa berselindung mahu mengubah corak permainan pasukan negara menjadi lebih agresif dan berani mengambil risko berdepan pihak lawan.

Ujian pertama Pan-gon bersama skuad Harimau Malaya adalah pada siri aksi persahabatan antarabangsa masing-masing menentang Filipina pada 23 Mac dan Singapura (26 Mac) dengan kedua-dua perlawanan dijadual berlangsung di Singapura. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram