Pesuruhjaya Sukan perlu beri maklum balas kemelut PAFA


  • Podium
  • Isnin, 10 Jan 2022

MOHD Azhar (depan dua, kiri) selepas dilantik sebagai Presiden PAFA yang baharu sesi 2018/2021 pada Kongres Luar Biasa PAFA di Pusat Konvensyen Amanjaya, Ipoh, Perak pada 19 Disember lalu. — Bernama

BAGI menyelesaikan kemelut melanda badan induk bola sepak di Perak, Pesuruhjaya Sukan (PJS) perlu memberi maklum balas segera berhubung notis aduan rasmi yang dihantar ahli-ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) pada 9 Disember lepas.

Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, ini kerana ia dapat meleraikan segala kekusutan yang wujud sekali gus memberikan pengesahan mengenai pihak yang mempunyai hak untuk menerajui PAFA.

“Desakan bagi mendapatkan maklum balas segera daripada pihak PJS ini disebabkan oleh rasa kasih dan sayang kami yang amat menebal kepada PAFA dan sukan bola sepak Perak khasnya. Kami tidak mahu isu-isu yang berlaku ketika ini akan menjadi punca kehancuran bola sepak Perak.

Kami juga khuatir sekiranya kelewatan maklum balas ini adalah disebabkan oleh wujudnya tekanan daripada pihak-pihak tertentu, namun kami yakin pihak PJS adalah sebuah badan kerajaan yang mempunyai tahap kredibiliti serta integriti yang amat tinggi," katanya dalam satu kenyataan.

Pada 24 Disember lepas, Pesuruhjaya Sukan Ibrahim Mohd Yusof dalam satu laporan media memaklumkan, pihaknya tidak membuat sebarang kenyataan dalam menentusah atau mengiktiraf mana-mana pihak dalam menerajui PAFA.

Malah, PJS dalam kenyataan itu memaklumkan, mereka masih belum menerima sebarang laporan mengenai Kongres Luar Biasa (EGM) 14 ahli gabungan PAFA pada 19 Disember lepas.

Mengulas lanjut, Mohd Azhar berkata, pihaknya juga menghantar permohonan Perintah Larangan terhadap PAFA kepada PJS pada 27 Disember lalu bagi memastikan tiada mana-mana pihak diberi kebenaran membuat sebarang keputusan atau tindakan berkenaan PAFA sehinggalah proses siasatan selesai dan keputusan PJS mengenai pihak yang sah untuk menerajui PAFA diterima.

Selain itu, katanya, tindakan 14 daripada 18 Ahli Gabungan PAFA mengadakan Kongres Luar Biasa PAFA bertujuan mengelak risiko salah guna kuasa dan sebagainya termasuk mengelak campur tangan pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak mahu apa yang berlaku ketika ini akan meletakkan PAFA dalam keadaan lebih berisiko sehingga mengakibatkan badan induk itu dikenakan tindakan lebih drastik seperti penggantungan atau pembatalan pertubuhan.

“Kami hanya ingin membawa PAFA kembali semula ke haluan yang betul dan bersama-sama ahli-ahli gabungan untuk melaksanakan program dan aktiviti bola sepak sepertimana digariskan oleh Perlembagaan PAFA," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Mohd Azhar Jamaluddin, PAFA, PJS, bola sepak