FAM gantung dua pegawai, tiga pemain


  • Podium
  • Jumaat, 11 Feb 2022

KEPUTUSAN itu dicapai pada mesyuarat kali keenam bagi penggal 2021-2025. — FAM

TIGA pemain dan dua pegawai pasukan yang bertanding dalam Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) dikenakan denda dan digantung perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas pelbagai kesalahan.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat kali keenam bagi penggal 2021-2025 yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.

Menurutnya, pemain Perak, Muhamad Norakmal Norizal serta pemain Selangor TOT United, Muhammad Amirul Sugito digantung tiga perlawanan akibat melanggar Artikel 50.1 (d) Kod Tatatertib FAM atas tindakan mereka yang didapati berkelakuan ganas.

"Pemain Kedah, Muhammad Hamzah Ahmad digantung tiga perlawanan akibat melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM atas tindakannya yang berkelakuan tidak bersemangat sukan terhadap pegawai pertandingan.

"Pegawai PDRM FC, Mohd Zulhilmi Razali yang turut melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM pula digantung tiga perlawanan serta denda sebanyak RM1,000," katanya.

Seorang lagi pegawai pasukan, Devandran Supramanium yang mewakili KL City FC dikenakan hukuman penggantungan sebanyak empat perlawanan akibat melanggar Artikel 62 Kod Tatatertib FAM atas tindakannya yang berkelakuan tidak bersemangat sukan terhadap pegawai pertandingan.

"Kesemua pemain dan pegawai berkenaan diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama," kata Baljit Singh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram