EMPAT lagi pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi Kejuaraan Bawah 23 (B-23) Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja pada 14 hingga 26 Februari depan.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan berkata, empat pemain itu adalah penjaga gol Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman serta tiga pemain pertahanan Ahmad Zikri Mohd Khalili, Muhammad Azrin Afiq Rusmini dan Harith Haiqal Adam Afkar.
Kesemua pemain pasukan Selangor FC itu yang telah melapor diri pada Selasa merupakan tonggak yang membantu negara layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 selepas mengungguli saingan kumpulan pusingan kelayakan di Mongolia pada Oktober 2021.
Pasukan negara yang diundi dalam Kumpulan B pada pertandingan di Kemboja itu akan memulakan kempen menentang Myanmar di Stadium Prince pada 15 Februari depan.
Anak buah ketua jurulatih, Brad Maloney kemudian akan bertemu Laos pada 18 Februari di lokasi sama sebelum melengkapkan perlawanan kumpulan dengan aksi berdepan Indonesia di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Februari.
Tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik akan mara ke separuh akhir pada 24 Februari manakala perlawanan akhir dijadualkan pada 26 Februari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram