Pemain ini mahu ikut jejak langkah 'King Kazu'


  • Podium
  • Selasa, 08 Feb 2022

BEN HUAT (kanan) tidak kisah digelar sebagai kuda tua. — Facebook

PEMAIN pertahanan berpengalaman Kuching City FC, Rames Lai Ben Huat tidak meletakkan sasaran untuk bersara dalam masa terdekat meskipun bakal menginjak usia 42 tahun.

Menurut Ben Huat, umur hanyalah angka bagi dirinya dan semuanya bergantung kepada tahap mental sama ada boleh bermain lagi atau sebaliknya.

“Biarlah orang hendak kata apa pun sama ada kuda tua atau apa jua gelaran, saya tidak kisah kerana saya tahu sejauh mana kemampuan diri ini untuk beraksi.

“Saya akan terus bermain selagi khidmat masih diperlukan dan soal persaraan belum terfikir di benak fikiran ini,” katanya.

Kata-kata yang diungkapkan oleh Ben Huat bukanlah sekadar omongan kosong berdasakan 19 penampilan di Liga Premier dan lima penampilan dalam Piala Malaysia musim lalu.

Ben Huat merupakan pemain tempatan tertua yang masih beraksi di Liga Malaysia (Liga-M).

Dalam pada itu, Ben Huat berhasrat mahu merealisasikan pengendali pasukan, Irfan Bakti, layak ke Liga Super pada musim 2023 sebagai hadiah persaraan sebelum beliau melepaskan jawatan pada penghujung musim 2022.

Tambah Ben Huat, dia mahu memberikan kenangan manis buat Irfan kerana sudi menjadikan Kuching City sebagai destinasi terakhirnya sebelum mengakhiri kariernya selaku jurulatih.

Dia berasakan Kuching City berpeluang melakar keputusan lebih positif berbanding musim lalu dengan kehadiran bakat-bakat muda yang memberikan banyak pilihan buat Irfan dalam merencana strategi pasukan.

“Saya akui sedih apabila mengetahui hasrat beliau untuk bersara selepas musim 2022 berakhir dan sememangnya itu memang sedikit mengejutkan kerana hanya diketahui daripada pembacaan di media sosial.

“Beliau sendiri menyatakan hasrat untuk membawa pasukan ke Liga Super sebelum bersara dan saya rasa ini satu kesempatan terbaik buat kami untuk berikan hadiah persaraan buat Irfan.

“Banyak perkara positif berlaku dalam pasukan sejak kehadiran beliau dan boleh dilihat Kuching City berjaya konsisten dengan menduduki tempat kelima di Liga Premier.

“Melihat kepada persiapan pasukan dan tambahan pemain yang hadir, saya rasa hasrat itu boleh dicapai malah saya cukup gembira melihat komitmen pemain-pemain muda yang baharu diserap dari skuad Piala Presiden,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram