HANYA tinggal beberapa hari lagi sebelum ketua jurulatih baharu skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon akan memulakan tugasnya secara rasmi.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Januari mengumumkan Pan-gon akan membawa bersama staf sokongannya iaitu penolong jurulatih; jurulatih penjaga gol; jurulatih kecergasan dan juruanalisis.
Namun, Pan-gon mahukan seorang jurulatih tempatan bagi membantu beliau membentuk skuad mantap terutama bagi menghadapi kelayakan Piala 2023 pada Jun.
Antara kriteria yang disebut-sebut mengisi jawaran itu adalah mempunyai pengalaman luas dalam Liga Malaysia (Liga-M).
Berikut merupakan beberapa calon yang dikhabarkan menjadi pilihan FAM.
Zainal Abidin — Facebook
1. Zainal Abidin Hassan
Meskipun membawa Melaka United ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim lalu, jodoh Zainal Abidin bersama skuad Hang Tuah itu tidak kekal lama apabila khidmatnya digantikan oleh Risto Vidakovic.
Beliau sebelum ini dikhabarkan akan dilantik sebagai pengarah teknikal Melaka United namun sehingga kini tiada pengumuman rasmi berhubung perkara itu.
Sepanjang tempoh beliau menjadi jurulatih, Zainal Abidin hanya melatih skuad kebangsaan Bawah 17 (B-17) serta penolong jurulatih skuad senior kebangsaan.
Beliau lebih memberi tumpuan kepada menguruskan kelab bola sepak tempatan sehingga kini.
Bagaimanapun, pengalaman Zainal Abidin sebagai bekas pemain legenda negara tidak harus dipandang enteng.
Nidzam Jamil — Facebook
2. Nidzam Jamil
Nidzam sebelum ini menafikan beliau memohon jawatan berkenaan kerana menghormati kontraknya bersama Selangor FC.
Beliau ketika ini merupakan penolong ketua jurulatih kepada Michael Fiechtenbeiner.
Menurut laporan media tempatan, meskipun belum ada sebarang pendekatan rasmi daripada FAM kepada Selangor FC berhubung Nidzam, namun pengurusan The Red Giants sedia berunding sekiranya badan induk bola sepak negara itu serius mendapatkan khidmatnya.
Shukor Adan — Facebook
3. Shukor Adan
Antara nama yang dilihat menepati kriteria FAM adalah bekas pemain tengah kebangsaan, Shukor Adan yang mengumumkan persaraannya musim lalu.
Beliau yang kini memegang portfolio sebagai penolong jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City FC) memiliki pengalaman beraksi selama kira-kira 21 tahun dalam arena Liga-M.
Shukor juga memiliki sifat kepimpinan dan dihormati oleh para pemain tempatan lain di dalam serta luar padang.
Wan Rohaimi — Facebook
4. Wan Rohaimi Wan Ismail
Ramai peminat bola sepak tempatan mencadangkan beliau sebagai penolong ketua jurulatih skuad kebangsaan.
Beliau memiliki pengalaman menyertai barisan kejurulatihan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dari 2014 hingga 2018.
Wan Rohaimi turut membimbing pasukan kebangsaan B-13 menjuarai Iber Cup pada 2015.
Beliau juga membarisi barisan kejurulatihan di bawah Lim Teong Kim pada Kejohanan AFC B-16 pada 2017 di Kuala Lumpur.
Manzoor Azwira — Facebook
5. Manzoor Azwira
Penolong jurulatih Penang FC itu merupakan antara calon yang dilihat sesuai memenuhi kriteria FAM selain Wan Rohaimi.
Karier kejurulatihan Manzoor tidak begitu indah. Beliau pernah kehilangan 'kerja' di Perlis Northern Lions selepas hanya empat bulan berikutan krisis kewangan pasukan tersebut pada 2018.
Pada 2019, Manzoor kembali ke negeri kelahirannya apabila diumumkan sebagai ketua jurulatih Penang FC.
Di bawah bimbingannya, Penang FC berjaya dinaikkan pangkat ke Liga Super pada musim 2021 selepas berjaya menjadi juara Liga Premier musim sebelumnya.
Mohd Hamzani Omar — Facebook/Johor Southern Tigers
6. Mohd Hamzani Omar
Atas kertas, namanya mungkin tidak sepopular calon lain namun Mohd Hamzani Omar dilihat antara calon sesuai untuk membantu Pan-gon mengendalikan skuad kebangsaan.
Pengalaman yang dimiliki pembantu jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora itu tidak mustahil menjadi aset penting Pan-gon khususnya dalam mengenal pasti pemain-pemain berpotensi untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya.
Tidak hairanlah, Mohd Hamzani kekal mendapat kepercayaan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak 2013 termasuk pernah menjadi pengendali JDT II sebelum ini.
Justeru, daripada calon-calon yang disenaraikan, siapakah individu yang sesuai untuk menggalas jawatan penolong jurulatih kebangsaan itu?
Sudah tentu, para peminat mengharapkan penolong ketua jurulatih yang dipilih membantu Pan-gon dalam membuat keputusan yang betul terutamanya soal pemilihan pemain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram