LEBIH tujuh juta peminat bola sepak di serata dunia bermain permainan dalam talian Liga Perdana Inggeris (EPL), Fantasy Premier League (FPL), dan menghabiskan banyak masa mengkaji barisan terbaik bagi mengumpul mata maksima setiap minggu.
Satu kajian baharu mendapati, permainan fantasi bola sepak seperti FPL boleh menyebabkan kemerosotan kesihatan mental para pemain.
Kajian yang dijalankan Universiti Nottingham Trent, England itu meninjau kesan permainan berkenaan terhadap kesihatan mental dengan merekodkan penglibatan 1,995 pemain - masa yang dihabiskan bermain, menyelidik dan memikirkan tentangnya - dan kesannya terhadap mood, penyesuaian sosial dan tabiat mereka.
Hampir satu perempat (24.6 peratus) responden mengakui permainan fantasi bola sepak menyebabkan mood mereka berada pada tahap sederhana rendah (mild low), dan jumlah berkenaan meningkat dua kali ganda bagi mereka yang dianggap sebagai ‘pengguna tegar’.
Daripada keseluruhan responden, seramai 415 menghabiskan masa selama 45 minit bermain, 60 minit menganalisa dan 120 minit memikirkan tentang permainan fantasi bola sepak setiap hari.
Seramai 44 peratus daripada jumlah itu mengakui mood mereka berada pada tahap sederhana rendah atau lebih, dengan 34 peratus mengatakan bahawa permainan itu menyebabkan mereka mengalami keresahan ringan (mild anxiety) manakala 37 peratus mendakwa ia mengganggu kehidupan mereka.
“Permainan fantasi bola sepak adalah satu permainan yang tidak boleh dimenangi oleh sebahagian besar pemain dan ada kemungkinan bahawa jika lebih banyak masa yang dihabiskan oleh seseorang pemain, lebih banyak kesan negatif timbul apabila mereka kalah.
"Kajian kami menunjukkan sisi positif yang boleh didapati daripada permainan fantasi bola sepak, tetapi turut memberi amaran tentang potensi kesan negatif, dan memberi justifikasi bahawa lebih banyak perkara harus dilakukan untuk memantau jumlah masa yang dikhaskan untuk bermain permainan berkenaan,” kata Dr Wilkin, penyelidik utama kajian itu.
Tinjauan itu dijalankan di 96 negara, dengan 96 peratus responden terdiri daripada lelaki dan purata umur mereka adalah 33 tahun.
Penyelidik sedang menjalankan kajian selanjutnya yang memfokuskan kepada sekumpulan pemain permainan fantasi bola sepak yang sangat tegar dengan melihat tahap kesihatan mental mereka sepanjang musim EPL. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram