KEBANYAKAN pemain import yang diambil kelab dalam liga Malaysia kebiasaannya adalah di posisi serangan dan bahagian tengah.
Faktor fizikal yang lebih besar dan tegap berbanding pemain tempatan membuatkan pemain import sentiasa menyinar dalam perlawanan di dalam liga.
Pemilihan pemain import juga perlukan strategi yang betul supaya kudrat mereka dapat digunakan sepenuhnya oleh pasukan.
Mempunyai strategi yang tersendiri, pasukan Sri Pahang memilih pemain dari Mali, Mamadou Samassa untuk menjadi penjaga gawang mereka musim ini.
Samassa sebenarnya bukanlah pemain yang calang-calang. Malah, pada 2014, pemain itu pernah dikaitkan untuk bersama dengan Liverpool pada 2014.
Berusia 24 tahun ketika itu, Samassa pernah dikaitkan untuk menggantikan penjaga gol utama Liverpool iaitu Simon Mignolet.
Malah, perbandingan statistik daripada segi jumlah gol yang berjaya diselamatkan sepanjang musim 2014, Samassa lebih menyinar berbanding Mignolet.
STATISTIK perbandingan di antara Samassa dan penjawa gol utama Liverpool, Mignolet. — Agensi
Menurut laporan daripada portal Bleacher Report, Samassa mempunyai tahap pembacaan permainan yang sangat baik.
Malah, pemain itu juga sangat lincah untuk menerpa keluar dan pantas kembali ke posisinya serta mempunyai kebolehan menyelamatkan bola dalam situasi sukar, membuatkan dia dilihat amat bersesuaian untuk menggantikan Mignolet ketika itu.
Apa yang menjadi kekurangan buat Samassa sehingga dia tidak terpilih ke Liverpool adalah pengalamannya yang masih 'hijau'.
Walaupun dia mempunyai ketangkasan dan beraksi dengan baik, kurangnya pendedahan perlawanan membuatkan dia terlepas untuk beraksi dengan Liverpool. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram