BEKAS pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim menempelak seorang peminat bola sepak tempatan yang mempersoalkan permintaan gajinya yang disifatkan terlalu tinggi.
Seorang pengguna Instagram @mipanzuzuzu533 memuatnaik satu komen di hantaran Instagram Teong Kim menyifatkan permintaan gaji Teong Kim adalah terlalu tinggi bagi seseorang yang hanya mempunyai pengalaman sebagai pembantu jurulatih skuad bawah 19 tahun.
"Tingginya minta gaji... Hanya disebabkan pernah jadi pembantu jurulatih Bayern bawah 19 tahun," katanya.
Teong Kim kemudian membalas komen tersebut dengan mengatakan bahawa tugas melatih skuad bawah 19 tahun bukanlah mudah, lebih-lebih lagi di kelab terbesar Jerman seperti Bayern Munich (FCB).
"Kamu ingat 12 tahun di FC Bayern tidak payah tunjuk kemampuan saya, kamu ingat FCB kepunyaan bapa saya?
"Kamu fikir saya hidup atas kebajikan selama 12 tahun di FCB?" ujar Teong Kim.
Komen balas Teong Kim kepada peminat bola sepak tersebut.
Pada Khamis, dalam siaran langsung yang disiarkan oleh Astro Arena, Tunku Ismail dalam satu temu bual bersama Astro Arena pada Khamis mengatakan Teong Kim pernah meletakkan tanda harga sekitar 70 hingga 80 ribu Euro (RM330,000 - RM380,000) sebulan untuk mendapatkan khidmatnya.
Menurut Tunku Ismail, permintaan gaji Teong Kim yang hanya berpengalaman melatih skuad pembangunan adalah tidak munasabah dan terlalu tinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram