Ott dedah misi peribadi bersama Terengganu FC


  • Podium
  • Khamis, 27 Jan 2022

OTT kini dalam proses mengenali pemain lain serta gaya permainan mereka.—Facebook

BEKAS pemain tengah Melaka United, Manuel Ott yang kini bersama skuad Penyu bertekad membantu pasukan baharunya itu mencapai keputusan lebih cemerlang pada Liga Malaysia (Liga M) 2022 yang bakal bermula awal Mac 2022.

Mesra dipanggil ‘Manny’, pemain kebangsaan Filipina berdarah kacukan Jerman itu, dilihat berusaha keras bagi menempatkan diri dalam barisan kesebelasan utama Terengganu FC (TFC).

Katanya, beliau kini dalam proses mengenali pemain lain serta gaya permainan mereka.

"Gaya permainan pemain lain sesuai dengan saya dan saya tidak sabar untuk menyumbang kepada pasukan. Saya percaya pasukan kami mempunyai keserasian yang baik,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Padang C, Stadium Gong Badak di Kuala Nerus, Terengganu.

Sebagai arkitek pasukan, Ott dilihat antara watak utama yang membawa Melaka United mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia pada musim lepas, selepas kali terakhir pasukan itu layak pada 1983.

Ketika bersama Melaka United, pemain berusia 29 tahun itu juga berjaya mengumpul empat gol pada saingan Liga Super dan dua gol pada aksi Piala Malaysia.

Malah, sebelum berkelana ke Liga M, beliau terlebih dahulu menyertai Liga Thailand dan turut berpengalaman beraksi di pentas Piala AFC dan Piala AFF.

Berbekalkan pengalamannya itu, Ott berikrar untuk membantu skuad Terengganu merangkul sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengagumi dan memuji kualiti pemain muda yang dimiliki skuad Penyu.

"Saya tahu Terengganu mempunyai sistem pembangunan pemain muda yang baik. Ia mempunyai asas yang baik dan perkara itu boleh dilihat dalam latihan, kualiti permainan mereka sangat tinggi dan saya sangat suka suasana di sini,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram