PEREBUTAN anugerah Kasut Emas Liga Super pada musim depan tentunya terarah kepada penyandang, Ifedayo Olusegun dan pencabarnya musim lalu, Bergson Da Silva.
Musim lalu, Olusegun menyumbat 24 gol manakala Da Silva di tempat kedua dengan 23 gol.
Kedua-dua pemain itu masih lagi beraksi di pentas Liga Super dengan Olusegun berhijrah ke pasukan baharu iaitu Melaka United (MU) manakala Da Silva masih kekal bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).
Bagaimanapun, saingan pada musim depan dilihat lebih sengit apabila beberapa pasukan turut memperkukuhkan barisan serangan mereka dengan penambahan penyerang import baharu.
Peminat kelab Terengganu FC (TFC) tentunya tidak sabar mahu melihat gandingan duo penyerang berbisa dari Afrika iaitu Kpah Sherman dan Kipré Tchetche.
Musim lalu, kedua-dua pemain tersebut menyumbang 36 gol dan 18 bantuan hantaran ketika beraksi di Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Sudah pasti, perancang tengah baharu TFC, Manuel Ott bakal menjadi antara tulang belakang barisan serangan pasukan dalam memberikan 'assist' kepada Sherman dan Tchetche untuk memburu lebih banyak gol.
Pengganti Sherman dan Thetche di KDA FC iaitu penyerang berbisa Cameroon, Ronald Ngah turut perlu diberi perhatian.
Beliau merupakan penjaring terbanyak Liga Jordan pada musim lalu bersama kelab Liga Jordan iaitu Al-Salt.
Penyerang berusia 30 tahun itu menyumbang hampir separuh gol kelabnya dalam kempen liga apabila merekodkan 15 gol daripada 20 penampilan.
Bagaimanapun, gandingan Ngah bersama seorang lagi penyerang kacukan Jerman-Thailand, Dennis Buschening diragui pelbagai pihak kerana Buschening bukanlah seorang pemain yang dilihat mampu memberikan impak besar bersama pasukan jika dilihat rekodnya sepanjang tiga musim beraksi di Liga Malaysia (Liga-M).
Sekiranya Ngah mampu membuktikan kualitinya sebagai penyerang prolifik, ia akan memberikan nilai tambah kepada skuad kendalian Aidil Shahrin itu.
Seorang lagi penyerang yang berkemungkinan memberi impak pada musim depan sudah tentu pembelian hangat terbaharu JDT, Fernando Forestieri.
Ramai peminat gergasi Harimau Selatan menantikan apakah impak yang bakal diberikan oleh Forestieri apabila digandingkan dengan Da Silva dan Arif Aiman di barisan serangan musim depan.
FORESTIERI bakal membentuk gandingan berbisa bersama Da Silva di JDT. — Facebook
Bagaimanapun, prestasinya masih menjadi tanda tanya apabila hanya meledak empat gol dan 2 bantuan hantaran dalam 28 penampilan bersama kelab Serie A, Udinese.
Adakah pemain kelahiran Itali itu dapat mengembalikan semula prestasinya sewaktu beraksi bersama kelab England, Sheffield Wednesday? Sama-sama kita tunggu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram